25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Bagaimana Pulau Tiga boleh ganti Bagan Datuk pada saat akhir?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

HARI ini, penulis ingin berkongsi satu lagi pengalaman menarik iaitu bagaimana Pulau Tiga boleh terpilih menggantikan Bagan Datuk untuk dijadikan kampung terpilih pertama di Semenanjung dalam program My Kampung, My Future.

Setelah membantu Kementerian Pertanian (MOA) menjayakan MKMF pertama di Merotai, kredibiliti penulis semakin menyerlah kepada pengurusan kementerian itu.

Pada masa sama, sebagai Ahli Majlis Penasihat Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC), MOA ketika itu, peranan penulis membangunkan latihan pertanian turut diperakukan sehingga MOA menganugerahkan Tokoh MAHA Youth 2011 kepada penulis.

Dalam fikiran penulis tidak pernah terlintas MOA akan memilih Pulau Tiga sebagai kampung pertama di Semenanjung menjayakan MKMF selepas Sabah dan Sarawak.

Namun sesuatu yang memeranjatkan berlaku dalam mesyuarat pada 12 April 2012 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) MOA ketika itu iaitu Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Seingat penulis, bilik mesyuarat dipenuhi puluhan pegawai tinggi kerajaan daripada pelbagai kementerian dan agensi termasuk dari Sabah dan Sarawak. Wakil swastanya adalah penulis seorang sahaja yang mewakili Institut Skill Tech Melaka (salah satu pusat latihan penulis di Melaka).

Dalam mesyuarat tersebut, seorang pegawai MOA Putrajaya membentangkan secara terperinci konsep dan pelaksanaan MKMF di seluruh negara. Setiap negeri dicadangkan satu mukim terpilih.

Malah turut dibincangkan juga ialah pemilihan mukim pertama di Semannjung yang akan menjadi tuan rumah pelancaran MKMF peringkat nasional oleh Perdana Menteri.

Bagi negeri Perak, salah satu mukim di Bagan Datuk telah dicadangkan sebagai kampung untuk MKMF.

Namun berlaku satu situasi yang agak tegang apabila pegawai berkenaan sekadar memberikan profil ringkas setiap kampung dalam negeri-negeri di Semenanjung tanpa memberitahu perancangan masa depan yang seiring dengan matlamat MKMF.

Kegagalan itu telah menyebabkan KSU agak tidak berpuas hati, apatah lagi tiada kampung yang dilihat bersedia untuk menjadi tuan rumah pelancaran peringkat nasional.

Dalam keadaan yang agak rumit, Setiausaha Bahagian Dasar MOA, Haji Azini mencadangkan supaya pemilihan mukim dalam daerah Bagan Datuk ditukarkan ke Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak.

Advertisements

Haji Azini memberikan beberapa hujah penting sebagai justifikasi kenapa perlunya Pulau Tiga menggantikan Bagan Datuk. Antaranya ialah peranan saya membantu MKMF di Sabah serta asas kriteria MKMF sudah dipelopori oleh penulis di Pulau Tiga.

Saya masih ingat kata-kata Tan Sri Hashim sebagai reaksi cadangan Haji Azini itu. Antaranya ialah jika sebut nama penulis, apa juga cadangan yang melibatkan kredibiliti penulis, beliau akan meluluskannya serta-merta.

Namun atas pelbagai faktor yang perlu dipertimbangkan, Tan Sri Hashim mencadangkan supaya satu lawatan oleh semua agensi yang terlibat menjayakan MKMF perlu diadakan di Pulau Tiga selepas Aidilfitri 2012.

Apabila mendapat tanda minat KSU, pegawai-pegawai MOA meminta saya untuk menyediakan segera kertas cadangan termasuk laporan bergambar aktiviti ekonomi yang berpotensi dan profil Mukim Pulau Tiga.

Hasilnya, terjadilah lawatan bersejarah pertama pelbagai agensi pusat dan negeri selama dua hari iaitu pada 12 hingga 13 September 2012. Penulis sendiri terpaksa bekerjasama dengan urusetia negeri dan daerah yang diketuai oleh Datuk Puhat Nayan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak ketika itu.

Tan Sri Hashim (tengah) meninjau pembangunan awal IGROW di Pulau Tiga ketika melakukan lawatan pada September 2012.

Tan Sri Hashim sendiri turut melawat sebahagian premis yang dicadangkan. Masih segar dalam ingatan, mesyuarat yang diadakan hingga lewat tengah malam di pejabat Daerah dan Tanah Kampung Gajah, dengan jadual yang sangat padat dan meletihkan.

Penulis sendiri bertungkus lumus dan membantu apa sahaja yang perlu terutama kepada Shahrul Azam Shaari, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kampung Gajah. Tujuan penulis adalah untuk memastikan Pulau Tiga benar-benar terpilih menggantikan Bagan Datuk.

Setelah melihat potensi dan keunikan Pulau Tiga, ditambah dengan peranan penulis yang sudah terbina asasnya menerusi IGROW di situ, Jawatankuasa Pemilihan MKMF akhirnya bersetuju memilih Mukim Pulau Tiga menggantikan Bagan Datuk walaupun Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang menjadi ‘lead agency’ untuk Perak telah memulakan gerak kerja awal di Bagan Datuk sebelum itu.

Agak memeranjatkan banyak pihak bagaimana penulis berjaya ‘hijack’ saat akhir. Lebih-lebih lagi Bagan Datuk berada di kawasan parlimen Bagan Datuk. Ahli Parlimennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika itu adalah Naib Presiden UMNO dan Menteri Dalam Negeri. Bukan calang-calang!

Walau apapun persepsi pelbagai pihak tentang pertukaran lokasi itu, sikap dan komitmen konsisten penulis hingga kini terhadap prestasi MKMF Pulau Tiga telah membuktikan bahawa pilihan dan keputusan MOA adalah tepat.

*Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial.



Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan