27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Neelofa sekeluarga kena kompaun RM60,000 langgar SOP

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Selebriti kontroversi, Noor Neelofa Mohd Noor dan suami serta 20 ahli keluarga yang lain dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan RM60,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kertas siasatan kes pelanggaran SOP PKPB di majlis perkahwinan Neelofa telah dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara pada 26 April lalu.

Menurut beliau, Pejabat Peguam Negara membuat keputusan mengenakan kompaun di bawah Peraturan 19 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) 2021.

Mohamad Zainal menambah, Neelofa dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 dengan tiada diskaun dibenarkan bagi dua kesalahan.

“Kesalahan pertama, selaku penganjur telah gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP Penganjuran Majlis Sosial PKPB apabila gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

“Kesalahan kedua, melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-peraturan yang sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Advertisements

Beliau memberitahu, suami Neelofa, Muhammad Harris Mohd Ismail atau PU Riz dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 dengan tiada diskaun dibenarkan.

Mohamad Zainal berkata, PU Riz didapati melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-peraturan yang sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis.

“Kesemua ahli keluarga Neelofa seramai 20 orang dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang yang berjumlah RM30,000 kerana gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung,” jelasnya.

Menurut beliau, kompaun dikeluarkan kepada semua yang terlibat hari ini.

“Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi PKPB.

“Kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” katanya.

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan