24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Bantuan guaman Pemuda UMNO Kelantan untuk peniaga burger

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kisah peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir yang dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi melebihi waktu dibenarkan di gerai di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu mengundang simpati orang ramai termasuk Pemuda UMNO Kelantan.

Rata-rata mereka terkejut apabila Wan Mohd Faisal dikenakan kompaun setinggi itu dalam keadaan ramai peniaga kecil sepertinya yang hidup dalam keadaan kesempitan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walaupun mereka memahami tugas pihak berkuasa dalam memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), orang ramai berpandangan sukar untuk peniaga burger terbabit melunaskan kompaun sekalipun dia dibenarkan membuat rayuan.

Mujurlah Pemuda UMNO Kelantan bersedia menawarkan bantuan guaman bagi membantu meredakan situasi yang dihadapi oleh Wan Mohd Faisal.

Berikut adalah kenyataan penuh Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berhubung usaha murni itu:

Merujuk kepada artikel Malaysiakini semalam, kita semua terkejut dengan berita seorang anak muda yang berniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir yang telah dikompaun RM50,000 di atas alasan beroperasi lebih waktu.

Advertisements

Terpanggil dengan keluhan anak muda yang gigih mencari pendapatan serba kekurangan di musim PKP ini, Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan bersedia memberi bantuan guaman kepada beliau bagi berhadapan dengan saman ini. Ini sejajar dengan khidmat bakti Pemuda UMNO yang sentiasa berkhidmat untuk kebajikan rakyat.

Barisan peguam kami, yang diketuai oleh Nik Saiful Adli Burhan, melalui firma guaman Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli, akan meneliti kes saman ini bagi pihak Wan Mohd Faisal. Pemuda UMNO Kelantan melalui peguam akan membantu merayu pengurangan kompaun dengan menyediakan surat representasi peguam kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

Kami berpendapat bahawa saman seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan perlu diberi pertimbangan secara waras oleh pihak berkuasa memandangkan rakyat yang tiada pekerjaan tetap seperti Wan Mohd Faisal ini, baru sahaja mula kembali mendapatkan rentak pencarian ekonomi mereka yang terjejas teruk akibat pandemik bahaya ini.

Atas alasan apa pun yang diberikan sepatutnya faktor timbang rasa perlu ada sebelum mengeluarkan sesuatu saman. Apatah lagi alasan lebih masa ini tidak pun menjadi asbab utama penularan virus memandangkan tidak ada pelanggan pun yang menunggu berasak-asak.

Pemuda UMNO Kelantan memohon agar pihak kerajaan Pusat dan negeri melihat balik SOP ini bagi kes-kes yang melibatkan peniaga bulan Ramadan yang semestinya berada dalam keadaan terdesak untuk mencari sesuap nasi demi survival hidup keluarga.

Kami patuh dengan kehendak undang-undang, namun sedikit pengecualian mungkin boleh dibuat bagi melegakan para peniaga yang kais pagi makan pagi ini. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan