33.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, March 22, 2023

Zii Jia berentap lawan Axelsen final Seluruh England

Mesti Baca

CYBERJAYA – Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia semakin menghampiri gelaran juara Seluruh England apabila berjaya mara ke pusingan akhir kejohanan berprestij itu awal pagi tadi.

Pencapaian itu merupakan yang pertama bagi Zii Jia.

Memetik laporan BH Online, pemain berusia 23 tahun itu layak ke pusingan akhir setelah menewaskan Mark Caljouw dari Belanda 21-13, 21-17 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham.

Bagi Zii Jia, impiannya kini menjadi kenyataan susulan kejayaan mara ke final Seluruh England.

“Saya fikir semua pemain badminton mempunyai impian untuk bermain di pentas final Seluruh England.

“Ini adalah detik besar dalam kerjaya mereka dan begitu juga dengan saya.

“Saya mahu menikmati detik ini dan membuat persiapan bagi menghadapi aksi final esok (hari ini),” katanya.

Kemaraan ke final menyaksikan Zii Jia yang menduduki ranking ke-10 dunia mengatasi pencapaiannya pada kejohanan tahun lalu setelah dia terkandas di separuh akhir selepas tunduk di tangan pemain Denmark, Viktor Axelsen.

Baca juga:   Markis Kido meninggal dunia akibat serangan jantung

Axelsen yang tampil sebagai pilihan kedua pada kejohanan kali ini akan sekali lagi menjadi halangan buat Zii Jia apabila kedua-dua mereka bertembung di gelanggang final, malam ini.

Juara bertahan itu mara ke final selepas menundukkan rakan senegara, Anders Antonsen 16-21, 21-7, 21-17 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Baca juga:   Laporan KKM beli 500 ambulans disalah tafsir - KSU

“Berdepan Axelsen sudah pasti bukan perlawanan yang mudah. Saya harap mendapat rehat yang secukupnya dan buat persiapan bagi perlawanan menentang Axelsen,” kata Zii Jia.

Dia sebelum ini mencipta sensasi dengan mengalahkan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota pada pertemuan suku akhir, kelmarin.

Sebagai rekod, kali terakhir pemain Malaysia muncul juara Seluruh England adalah menerusi legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang menjuarainya pada 2017.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang terkandas di peringkat separuh akhir selepas mereka tewas di tangan pasangan Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo 14-21, 20-22.

Wartawan

Terkini

Pusat Sains perkenal ‘Tiket Rahmah’

PUSAT Sains Negara mengambil inisiatif memperkenalkan harga tiket masuk yang lebih murah dikenali sebagai 'Tiket Rahmah' bermula hari ini...

Lagi Artikel Berkaitan