26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Covid-19: 1,671 kes baharu, hanya enam kes ingkar SOP

Mesti Baca

CYBERJAYA – Malaysia merekodkan 1,671 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan Selangor terus mencatatkan angka tertinggi harian iaitu 652 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, sebanyak 1,585 kes sembuh dilaporkan selain empat kematian, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh daripada COVID-19 di negara ini ialah 316,042 manakala angka keseluruhan kematian kini ialah 1,229 orang. 

“Daripada jumlah kes baharu hari ini, 1,669 merupakan kes tempatan melibatkan 1,038 warga tempatan dan 631 bukan warganegara manakala dua lagi adalah kes import,” menurutnya menerusi kenyataan di sini. 

]Dr Noor Hisham berkata terdapat empat kluster baharu dikenal pasti melibatkan kluster tempat kerja iaitu Kluster Teluk Air Tawar di Pulau Pinang dan Kluster Perindustrian Pekan Nenas di Johor serta kluster komuniti iaitu Kluster Tanjung Genting di Sarawak dan Kluster Pulau Pisang di Perak. 

Kes kematian hari ini pula melibatkan dua kes di Selangor serta masing-masing satu kes di Sabah dan Kedah, dengan kesemuanya melibatkan warganegara.

Dr Noor Hisham juga berkata sebanyak 151 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 64 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu pematuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) dilihat semakin meningkat apabila hanya enam individu ditahan semalam sekali gus menyaksikan jumlah terendah ingkar SOP dicatatkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bilangan pesalah ingkar SOP di seluruh negara itu mencatatkan penurunan bagi hari kelima berturut-turut.

Katanya, semalam hanya enam individu ditahan sekali gus menyaksikan jumlah terendah ingkar SOP dicatatkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, kesemua enam individu itu telah dikenakan kompaun atas kesalahan yang dilakukan.

Menurut Ismail Sabri, empat daripadanya ditahan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka manakala dua lagi kerana gagal menyediakan peralatan merekod diri pelanggan.

Katanya, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 67,207 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

“Seramai 3,598 pasukan pematuhan melibatkan 15,454 anggota telah membuat pemantauan di 6,028 buah restoran, pasar raya (4,711), bank (3,068), penjaja (4,285), pasar awam/tani (179), kilang (2,459) dan pejabat kerajaan (947).

“Turut dipantau ialah tempat ibadah (253), tempat riadah (18,399), terminal pengangkutan darat (3,913), terminal pengangkutan air (1,889) dan terminal pengangkutan udara (974),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan