27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Polis panggil pasangan influencer didakwa berbulan madu

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Baru-baru ini seorang influencer wanita dan suaminya dikecam oleh netizen secara beramai-ramai kerana didakwa menyalahgunakan permit rentas negeri yang dikeluarkan oleh polis untuk berbulan madu.

Ramai dalam kalangan netizen yang menyuarakan kekesalan terhadap sikap mereka itu dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan sekiranya influencer terbabit dan suaminya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, lelaki terbabit yang juga seorang ahli perniagaan telah datang ke Balai Polis Wangsa Maju bersama isterinya kira-kira pukul 2 petang, 15 Mac lalu.

Menurut beliau, mereka memohon permit pergerakan PKP Bersyarat (PKPB) ke Johor Bahru, Johor atas urusan perniagaan.

“Pemohon telah mengemukakan surat arahan menjalankan tugas oleh syarikat.

“Berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh pemohon, permohonan rentas negeri tersebut telah diluluskan oleh pihak polis bermula pada 17 hingga 20 Mac 2021,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ashari menambah, pada 19 Mac lalu, gambar pasangan yang berusia dalam lingkungan 20-an telah tular dalam media sosial kononnya telah pergi berbulan madu di satu kawasan peranginan dan memuat naik gambar mereka dalam media sosial sehingga mendapat kecaman netizen.

berbulan madu
Posting yang mencetuskan kecaman dalam kalangan netizen. – Gambar: Media sosial

Beliau memberitahu, ramai netizen mempersoalkan kebenaran rentas negeri yang diberikan oleh pihak polis kepada pasangan terbabit untuk tujuan berbulan madu.

Advertisements

“Susulan isu tersebut, pasangan ini telah dipanggil untuk memberikan keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

“Berdasarkan keterangan mereka, pasangan ini mengesahkan bahawa mereka telah menginap di sebuah resort di Johor sepanjang urusan perniagaan mereka di sana dan telah mengemukakan bukti segala urusan perniagaan serta resit tempat penginapan mereka,” jelasnya.

Ashari berkata, pasangan itu turut mengesahkan ada memuat naik gambar mereka dalam akaun Instagram milik isterinya.

Menurut beliau, mereka juga menafikan berada di Pulau Perhentian, Terengganu seperti yang telah ditularkan.

“Pasangan ini telah menjelaskan posting yang dimuat naik dalam Instagram oleh isterinya bersifat peribadi tetapi telah ditularkan di Twitter,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ashari memberitahu, pihak polis ingin menasihatkan orang ramai yang mendapat kelulusan rentas negeri agar sentiasa berhati-hati dan bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan oleh pihak polis.

Beliau menegaskan, sekiranya terdapat individu yang menyalahgunakan kebenaran itu, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan