25.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Parlimen selamat, Zahid kemuka bukti ‘sains dan data’

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan memulakan semula sidang Parlimen memandangkan ia kini terbukti selamat berdasarkan ‘sains dan data.’

Presiden UMNO berkata, berdasarkan bukti sains dan data tersebut, beliau mahukan agar amalan demokrasi dapat kembali dipulihkan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mengemukakan empat bukti sains dan data bagi mengesahkan bahawa Parlimen ‘selamat’ untuk bersidang.

Empat bukti itu ialah:

  1. Fungsi Parlimen masih dapat diteruskan secara selamat termasuk secara maya seperti yang banyak dilakukan negara lain.
  2. Ramai Ahli Parlimen telah mengambil suntikan vaksin Covid-19 sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula.
  3. Kebanyakan aktiviti lain termasuk persekolahan sudah pun dibenarkan beroperasi, maka tiada sebab Parlimen terus ditutup.
  4. Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat memberitahu menerusi Facebooknya bahawa beliau telah lari mengelilingi Parlimen sampai ‘ketaq’ (ketar) lutut kelmarin.

Zahid berkata, sudah 25 hari berlalu sejak Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen boleh bersidang semasa tempoh Ordinan Darurat berkuatkuasa namun sehingga hari ini masih tiada tarikh ditetapkan kerajaan untuk wakil rakyat kembali bersidang di Dewan Rakyat.

Rashid Hasnon melakukan larian sekitar bangunan Parlimen sempena Larian Maya Parlimen 2021 yang dilancarkan beliau, Jumaat lalu. – Sumber: FB Rashid Hasnon

“Fungsi Parlimen sebagai proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara terus tergantung dengan alasan ‘sains dan data’. Perlu ingat Parlimen mempunyai kedudukan paling utama dalam sistem demokrasi.

Advertisements

“Parlimen adalah forum untuk rakyat menyuarakan permasalahan melalui wakil mereka yang dipilih dalam pilihan raya. Merupakan badan perundangan Persekutuan yang memeriksa dasar-dasar kerajaan demi kepentingan negara,” tegas beliau.

Malah, katanya, Parlimen juga berfungsi untuk menjaga dasar pengasingan kuasa Eksekutif, Legislatif dan Judisiari bagi mengelak penyalahgunaan kuasa akibat pemusatan kuasa. selamat apabila semua yang hadir mematuhi SOP.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan sidang Parlimen bukan digantung tetapi ditangguhkan atas faktor perundangan, sains serta data pandemik Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, berdasarkan faktor perundangan, tiada keperluan untuk Parlimen bersidang dalam tempoh darurat memandangkan Yang di-Pertuan Agong boleh membuat ordinan di bawah Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan.

Takiyuddin berkata, pihaknya juga tidak mahu merisikokan ahli Parlimen yang rata-ratanya boleh dikategorikan sebagai kumpulan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.

Menurutnya, daripada 220 ahli Parlimen, 77 daripadanya berusia 61 hingga 69 tahun, 19 orang berusia 70 hingga 79 tahun dan empat lagi berusia 80 tahun ke atas. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan