29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Suu Kyi berdepan 4 tuduhan di mahkamah Myanmar

Mesti Baca

YANGON – Bekas Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi menghadapi empat pertuduhan di mahkamah hari ini, sehari selepas demonstrasi yang menyaksikan seramai 30 orang terkorban.

Beliau bakal didakwa oleh kerajaan yang dikuasai junta tentera selepas mereka merampas kuasa di Myanmar pada 1 Februari lalu.

Memetik laporan AFP, Suu Kyi dituduh memilik peralatan walkie-talkie secara tidak sah dan melanggar peraturan berkaitan COVID-19.

Selain itu, penerima Hadiah Nobel tersebut turut dituduh melanggar undang-undang komunikasi dan menimbulkan kerisauan dalam kalangan orang ramai.

Peguamnya, Khin Maung Zaw berkata, prosiding terhadap Suu Kyi tersebut mungkin dibuat secara persidangan video.

Selain empat pertuduhan berkenaan, pemerintah junta juga menuduh Suu Kyi menerima bayaran tunai berjumlah AS$600,000 dan sejumlah emas.

Maung Zaw menganggap tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.

“Junta sudah menunjukkan taring dan wajah sebenar mereka,” katanya.

Maung Zaw sebelum ini pernah membuat aduan beliau tidak dibenarkan berjumpa dengan Suu Kyi sejak hari pertama pemimpin itu ditahan.

Suu Kyi pernah dikenakan perintah tahanan dalam rumah selama 15 tahun.

Penyokong Suu Kyi melancarkan demonstari bagi mendesak junta membebaskan pemimpin mereka serta mengembalikan demokrasi di Myanmar.

Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP) menganggarkan lebih 120 orang terkorban dalam beberapa siri demonstrasi yang dianjurkan setakat ini.

Selain menahan Suu Kyi dan beberapa pemimpin Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD), tentera Myanmar turut menguatkuasakan perintah darurat selama setahun.

Junta mendakwa, penahanan pemimpin parti NLD dibuat sebagai tindak balas terhadap penipuan dalam pilihan raya dan menyerahkan kuasa kepada Panglima Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing.

Penahanan Suu Kyi dan pemimpin lain berlaku berikutan ketegangan yang meningkat selama beberapa hari antara pemerintah awam dengan tentera yang menimbulkan kebimbangan akan berlaku rampasan kuasa selepas pilihan raya.

Parlimen dijadual untuk mula bersidang selepas pilihan raya pada November lalu apabila NLD mencatat kemenangan besar.

Suu Kyi, 75, memegang kuasa selepas kemenangan pilihan raya 2015.

Dalam pilihan raya November lalu NLD meraih kelebihan undi yang besar sekali gus mengatasi parti pro-tentera.

Suruhanjaya pilihan raya Myanmar telah menolak dakwaan tentera mengenai penipuan proses undian, dengan menekankan tiada kesalahan besar telah berlaku untuk menjejas kredibiliti pengundian.

Perlembagaan memperuntukkan 25 peratus kerusi di Parlimen bagi tentera dan kawalan tiga kementerian utama dalam pentadbiran Suu Kyi.

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan