31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Polemik PeKT: Apakah pendirian rasmi MN Negeri Sembilan?

Mesti Baca

SEREMBAN – Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan masih belum menyatakan pendirian rasmi setakat ini sama ada akan mengikut langkah MN Selangor menolak pelantikan Penggerak Komuniti Tempatan (PEKT) atau sebaliknya.

Situasi itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli-ahli UMNO dan PAS yang telah menerima surat lantikan sebagai Pengerusi PeKT berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.

Difahamkan, lantikan tersebut hanya dianggap sebagai diterima setelah Pengerusi PeKT yang dilantik menyerahkan Surat Setuju Terima selewat-lewatnya pada 16 Mac ini.

Edisi 9 turut dimaklumkan beberapa individu yang dilantik sebagai Pengerusi PeKT di Negeri Sembilan termasuk pemimpin-pemimpin PAS telah menolak lantikan tersebut secara individu.

Walau bagaimanapun, ramai Pengerusi PeKT yang lain khususnya dari UMNO masih menunggu keputusan daripada pihak atasan berhubung perkara tersebut.

Sebahagian daripada mereka ingin menarik diri daripada program tersebut namun pada masa yang sama, tidak mahu dilihat mendahului pucuk pimpinan dalam membuat keputusan.

Salah seorang Pengerusi PeKT yang mahu identitinya dirahsiakan berkata, situasi politik semasa melibatkan UMNO dan Perikatan Nasional (PN) khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut mempengaruhi keputusannya yang cenderung menolak lantikan dalam badan sukarelawan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu.

Beliau berkata, adalah sukar untuk bekerja secara sukarela di bawah payung PN dalam keadaan sekarang.

Advertisements

“Saya berharap pucuk pimpinan UMNO dan MN Negeri Sembilan segera menyatakan pendirian berhubung isu lantikan PeKT.

“Kita tidak pasti sama ada MN Negeri Sembilan akan bersolidariti dengan MN Selangor menolak lantikan tersebut.

“Sekiranya tiada keputusan atau pendirian yang tegas, sebahagian daripada kami terpaksa membuat keputusan secara individu menolak lantikan berkenaan seperti yang dilakukan oleh rakan-rakan kami dari PAS,” katanya kepada Edisi 9, hari ini.

Pada 8 Mac lalu, PAS Selangor mengambil pendirian bersolidariti dengan UMNO Selangor dalam menolak pelantikan PeKT.

Kedua-dua parti itu menyatakan pendirian tersebut dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

“UMNO dan PAS Selangor berpendapat jawatan dalam kerajaan bukanlah bahan tawar-menawar tetapi lebih kepada untuk menjaga kebajikan rakyat dan bukan dipergunakan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu,” kata mereka.

Kenyataan itu menjelaskan, sebelum ini, PAS Selangor telah menolak jawatan PeKT dengan tidak mencalonkan nama.

“Sebagai tanda solidariti dan sokongan walaupun UMNO Selangor telah menghantar nama sebelum ini, UMNO Selangor mengambil keputusan menolak jawatan PeKT yang ditawarkan,” tambah kenyataan tersebut. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan