Monday, July 20, 2026

Penyatuan politik UMNO-Pas? Saya orang pertama bantah – Puad

Ia bukan idea bagus. Saya percaya penyatuan atas nama politik tidak akan berjaya, bersifat sementara dan akan berakhir dengan sakit hati.

Mesti Baca

AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, beliau akan menjadi orang pertama yang membantah sekiranya cadangan penyatuan politik dengan Pas dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.

Beliau yakin, penyatuan antara UMNO dan Pas yang terbina atas nama politik tidak akan berjaya, bersifat sementara dan berakhir dengan sakit hati.

“Ia bukan idea bagus. Saya percaya penyatuan atas nama politik tidak akan berjaya, bersifat sementara dan akan berakhir dengan sakit hati.

“Sebabnya, kalau Pas boleh salah gunakan agama maka apatah lagi dengan UMNO. Pas akan gunakan UMNO hanya untuk mendapatkan kuasa semata-mata. 

“Atas kertas memang cantik. Tetapi Pas ada penyakit politik yang sukar disembuhkan. Pas suka berkahwin cerai politik. Cepat berkahwin tetapi cepat juga bercerai,” kata beliau hari ini.

Mohd Puad berkata, masalahnya apabila bercerai, gabungan politik tersebut akan tutup kedai selama-lamanya. 

Beliau berkata, Pas pernah menyertai Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR) dan Perikatan Nasional (PN).

“Semua gabungan itu telah berkubur. PN hanya menunggu masa sahaja. Lebih baik tubuh kerjasama longgar. 

“Ia mesti menyeluruh. Bukan setakat untuk pilihan raya umum. Kalau kedua pihak ikhlas ia akan kuat dengan sendirinya,” katanya.

Dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO baru-baru ini, Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh menggesa partinya menarik diri daripada Kerajaan Madani namun menolak sekiranya ada usaha untuk merampas kuasa atau gerakan ‘tebuk atap’.

Beliau mencadangkan agar Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula demi membentuk perpaduan antara parti-parti Melayu-Islam. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan