25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Tiada kompaun langgar SOP PKPB di Kampung Rapat

Mesti Baca

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada kompaun dikeluarkan ke atas seorang pemandu tukang masak di Kampung Rapat, Ipoh kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang didakwa oleh pemilik akaun Facebook Kuan Chee Heng baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, setakat malam tadi, polis mendapati tiada kompaun sebegitu yang dikeluarkan oleh pasukan pemeriksa SOP PKPB PDRM Daerah Ipoh.

Menurut beliau, semakan lanjut dengan pemilik akaun laman Facebook Kuan Chee Heng juga mendapati pengadu gagal dihubungi melalui nombor telefon yang diberikan bagi membuat pengesahan tentang kesahihan dakwaan yang ditularkan.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Polis Balai Kampung Rapat sepertimana Kampung Rapat Repot: 1066/21 mengenai perkara yang tular tersebut bagi menyiasat punca sebenar yang berlaku,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Kampung Rapat
Gambar: Facebook Najib Razak

Terdahulu, pertikaian tentang kompaun pelanggaran SOP PKPB yang berlaku di Kampung Rapat telah dibangkitkan dalam laman Facebook Kuan Chee Heng.

Untuk rekod, Kuan Chee Heng yang juga popular dengan gelaran Uncle Kentang merupakan seorang aktivis masyarakat.

Isu yang dibangkitkan dalam laman Facebook Kuan Chee Heng itu turut dikongsi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mendapat perhatian para netizen.

A Asmadi menegaskan, PDRM sentiasa menjalankan amanah penguatkuasaan undang-undang dengan adil dan profesional, khususnya dalam membantu mengawal penularan wabak COVID-19 melalui tindakan penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

“Dalam perkara sebegini, diharapkan agar segala permasalahan, pertikaian, maklum balas tentang tindakan undang-undang oleh pihak polis disalurkan melalui saluran yang betul dan bukannya disebarkan sewenang-wenangnya melalui media sosial tanpa disokong oleh fakta sebenar,” jelasnya.

A Asmadi berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan penyebaran maklumat palsu sehingga mendatangkan kegusaran kepada masyarakat dan menggugat ketenteraman awam. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan