33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Polis siasat kekecohan Konvensyen DAP Perak

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah menerima laporan berhubung insiden kekecohan yang berlaku semasa Konvensyen DAP Perak Ke-19 semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, laporan itu dibuat untuk menyiasat berkaitan kesalahan yang wujud dari sudut perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa kekecohan.

Beliau turut mengesahkan bahawa insiden itu berlaku di Pusat Konvensyen Ipoh kira-kira pukul 11 pagi.

“Kekecohan yang berlaku semasa perjalanan atur cara konvensyen ini adalah berbentuk pertengkaran mulut dan keadaan berjaya dikawal tanpa berlakunya kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, media melaporkan berlaku kekecohan ketika konvensyen yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan itu berlangsung apabila wujud dakwaan pengundi hantu bagi memilih Jawatankuasa DAP Perak.

Seorang perwakilan yang terbabit dalam kekecohan itu mendakwa ia disebabkan tempoh mendaftar pengundian dilanjutkan melebihi masa sepatutnya apabila daftar pemilih yang sepatutnya tamat pada jam 10 pagi dilanjutkan sehingga jam 12 tengah hari.

Video tentang insiden yang memalukan DAP itu tular dalam media sosial termasuk Facebook dan Twitter.

A Asmadi menambah, konvensyen tersebut merupakan satu acara tertutup dan IPD Ipoh tidak dimaklumkan mengenai penganjurannya.

Beliau memberitahu, penganjuran program tersebut dibenarkan di bawah SOP PKPB yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan 50 peratus kapasiti dewan dan syarat SOP PKPB dipatuhi.

“Pemantauan pihak polis mendapati bahawa jumlah kehadiran dan kapasiti dewan adalah memenuhi SOP PKPB,” jelasnya.

Pemilihan yang berlangsung semalam turut menyaksikan Nga Kor Ming dipilih semula sebagai Pengerusi DAP Perak.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dalam satu kenyataan hari ini menafikan dakwaan pengundi hantu yang dilaungkan oleh para perwakilan semasa kekecohan semalam.

Beliau menegaskan, semua proses pemilihan kepimpinan parti DAP di semua peringkat sentiasa dijalankan dengan telus tanpa memihak kepada mana-mana individu.

“Senarai perwakilan untuk Konvensyen Biasa Negeri adalah disahkan oleh Bahagian Organisasi, Ibu Pejabat Kebangsaan DAP.

“Setiap wakil yang layak untuk hadir ke Konvensyen Biasa Negeri berhak untuk mengundi selagi proses pengundian belum ditutup oleh Pengurus Pilihanraya,” ujarnya.

Anthony memberitahu, Pengurus Pilihanraya untuk Konvensyen Biasa Negeri adalah dilantik oleh Ibu Pejabat Kebangsaan DAP dan secara lazimnya beliau adalah pemimpin dari negeri lain yang tidak ada kepentingan dalam proses pemilihan di negeri tersebut.

Beliau berkata, sebelum seseorang wakil mendapat kertas undi mereka, kad pengenalan mereka akan diperiksa dan disahkan butirannya mengikut senarai perwakilan.

“Semua jawatankuasa negeri yang bertanggungjawab untuk menguruskan logistik untuk Konvensyen Biasa Negeri juga perlu mematuhi segala tatacara dan prosedur yang ditetapkan oleh Bahagian Organisasi Kebangsaan.

“Sebagai Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan segala proses pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan, Konvensyen Biasa Negeri dan Kongres Kebangsaan parti dijalankan dengan penuh integriti,” jelasnya.

Anthony menyeru setiap anggota parti untuk menghormati proses pemilihan parti dan menerima sebarang keputusan pemilihan dengan hati yang terbuka.

Katanya, setiap ahli DAP juga perlu sentiasa menjunjung Perlembagaan Parti yang menjadi asas kepada perjalanan dan fungsi parti. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan