32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Saifuddin Nasution tak layak cakap isu lompat parti

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Seramai 10 bekas pemimpin PKR yang kini bersama Perikatan Nasional (PN) menempelak Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dianggap tidak layak bercakap tentang isu lompat parti.

Mereka berpandangan, Saifuddin tidak mempunyai kedudukan moral untuk berbuat demikian kerana beliau telah beberapa kali menjadi juara melompat dari UMNO ke PKR, kemudian dari PKR ke PAS dan seterusnya, dari PAS kembali ke PKR.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Zuraida Kamaruddin, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Dr. Mansor Othman, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar, Datuk Ali Biju, Datuk Willie Mongin dan Jonathan Yasin berkata demikian dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Kenyataan penuh mereka adalah seperti berikut:

Pengisytiharan oleh tiga Ahli Parlimen PKR sebagai Ahli Parlimen bebas untuk menyokong kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan langkah berani dan senada dengan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang berfungsi sepenuhnya dan stabil .

Kami sebulat suara mengalu-alukan anjakan politik yang dinamik dilakukan oleh YB Larry Sng (Julau), YB Steven Choong (Tebrau) dan YB Datuk Dr. Xavier Jayakumar (Kuala Langat).

Ini merupakan perkembangan progresif yang terbit dari keyakinan mereka terhadap pengendalian kerajaan PN menangani pandemik COVID-19 dan langkah-langkah proaktif, tegas dan tepat untuk melaksanakan usaha mencerdaskan ekonomi dan memastikan pemulihan yang berterusan.

Keputusan mereka untuk meninggalkan PKR juga didorong oleh rasa kecewa yang mendalam terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa amalan politik pecah-belah, nepotisme dan kronisme hingga menjerumuskan parti itu ke jurang kehancuran.

Datuk Seri Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung PKR, yang begitu keras memimpin serangan ganas terhadap ketiga-tiga anggota Parlimen itu, tidak memiliki kedudukan moral untuk menjuarai hujah berhubung melompat parti.

Beliau telah beberapa kali menjadi juara melompat dari UMNO ke PKR, kemudian dari PKR ke PAS dan seterusnya, dari PAS kembali ke PKR.

Berbanding dengan YB Datuk Dr. Xavier yang merupakan Naib Presiden PKR yang terpilih, kedudukan Saifuddin dalam parti adalah lemah kerana hanya sebagai seorang yang dilantik.

Saifuddin tidak mempunyai legitimasi dan keabsahan dan kita fahami dia bersuara bagi pihak Anwar dalam situasi begini.

Sekiranya Saifuddin jujur dan ikhlas tentang kedaulatan undang-undang dan perjuangan melawan rasuah, mengapa dia terus menerus diam membisu tentang kes rasuah yang melibatkan seorang tokoh ternama kepimpinan PH yang tiba-tiba digugurkan tatkala perbicaraan sedang berjalan lancar?

Suatu yang amat mengecewakan dan menggusarkan SPRM dan masyarakat awam.

Tuduhan bahawa PN menggunakan sogokan dan intimidasi untuk meraih sokongan Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan adalah tidak berasas sama sekali.

Ahli-Ahli Parlimen ini melakukan penilaian objektif dan menyedari bahawa Kerajaan PN telah mengambil tindakan yang bertanggungjawab dalam menangani wabak tersebut dengan menyalurkan sejumlah RM320 bilion untuk kepentingan rakyat dan mencerdaskan ekonomi.

Tuduhan-tuduhan ini merupakan serangan terhadap integriti SPRM dan polis.

Kami memandang serius tuduhan menghasut secara terang-terang ini yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi penguatkuasaan dan meminta tindakan undang-undang segera terhadap mereka.

Para pemimpin dan anggota PKR harus merenungkan bukan hanya keputusan terbaru yang diambil oleh ketiga-tiga anggota Parlimen itu, tetapi isu yang lebih serius mengapa begitu ramai pemimpin tertinggi PKR dan anggota yang lama berkhidmat telah keluar parti.

PKR, di bawah pimpinan dan kerangka sekarang, tidak lagi mampu memperjuangkan prinsip keadilan dan kesejahteraan bagi rakyat.

PKR telah tercabut dari prinsip dan tidak lagi berada di landasan moral untuk memimpin.

Biar pun pahit, tetapi hakikatnya adalah kepimpinan Anwar Ibrahim ditolak oleh sebahagian besar anggota partinya sendiri kerana PKR telah kehilangan idealisme dan tergelincir dari landasan perjuangan.

Ini sangat malang kerana kita tahu bahawa ada pemimpin dan anggota PKR yang berpegang teguh pada prinsip dan idealisme disisihkan dan bahkan menjadi mangsa kuasa di tangan presiden.

Sepatutnya mereka perlu tabah dalam perjuangan untuk terus mencapai cita-cita murni, tetapi perakus dan pengkhianat telah merampas agenda reformasi untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni mereka.

Sekarang adalah masanya untuk bertindak tegas.

Marilah kita bersama sama menggerakkan dan maju dengan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan terus maju dalam kekuatan, perpaduan dan keyakinan untuk kesejahteraan dan kejayaan rakyat dan negara. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan