Sunday, July 19, 2026

UMNO tidak mahu dipatuk ular sama dua kali – Zahid

UMNO dan Barisan Nasional (BN) berpendirian menolak sebarang amalan 'tebuk atap' yang boleh menyebabkan kejatuhan Kerajaan Perpaduan.

Mesti Baca

UMNO tidak mahu mengulangi kesilapan lalu dalam mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan pembangkang termasuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama buat kali kedua di tempat yang sama.

“Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu… dan kita belum memuktamadkannya lagi.

“Itu sebabnya perincian penting kerana kita tidak mahu ‘dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama’,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sama ada UMNO akan menghidupkan semula kerjasama dengan Pas di bawah payung MN.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat Biro Politik UMNO yang bersidang semalam meneliti secara mendalam desakan Pemuda UMNO supaya menjalin semula kerjasama politik dengan Pas.

Namun tegas beliau, perkara tersebut masih berada di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan lagi.

Pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO, baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menggesa parti menghidupkan semula MN susulan perkembangan politik semasa.

Saranan Dr Akmal itu disambut baik Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, yang menyifatkan cadangan itu sebagai kunci kepada kekuatan serta kebangkitan semula perpaduan ummah.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) berpendirian menolak sebarang amalan ‘tebuk atap’ yang boleh menyebabkan kejatuhan Kerajaan Perpaduan.

Jelas beliau, sebaliknya BN akan terus kekal komited bersama kerajaan sedia ada sehingga tamat penggal.

Beliau berkata, pendirian itu selari dengan prinsip parti yang sejak awal tidak pernah menyokong sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik negara.

“Sejak dari awal lagi, parti mempunyai pendirian yang jelas bahawa kita tidak akan melakukan sebarang usaha ‘tebuk atap’ terhadap kerajaan yang ada sekarang. 

 “Kita akan bersama-sama Kerajaan Perpaduan ini sehingga tamat penggal, iaitu satu penggal yang mencukupi sebelum pilihan raya umum akan datang,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan