TAHAP kepuasan rakyat terhadap prestasi Kerajaan Madani meningkat berbanding enam bulan pertama tahun ini, menurut kaji selidik Institut Masa Depan Malaysia (Institut Masa).
Hasil kaji selidik itu mendapati prestasi Kerajaan Madani mencatatkan sedikit peningkatan tahap puas hati rakyat daripada 41 peratus pada bulan Jun 2025 kepada 49 peratus pada bulan Disember 2025.
Menurutnya, prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mencatatkan peningkatan daripada 33 peratus kepada 46 peratus dalam tempoh yang sama.
Dari segi kaum pula, 58 peratus responden Cina menyatakan rasa puas hati terhadap prestasi Perdana Menteri diikuti India 42 peratus dan Melayu 40 peratus.
“Walaupun tahap puas hati rakyat terhadap Kerajaan Madani dan Perdana Menteri meningkat, prestasinya masih belum memuaskan iaitu di bawah paras 50 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Institut Masa berkata, ia berdasarkan kaji selidik melibatkan 1,604 responden berumur 18 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia pada 15 November hingga 19 Disember 2025.
Katanya, kaedah pengumpulan data kajian ini menggunakan instrumen temu bual telefon secara random digit dialing yang berpandukan kaedah pensampelan rawak berstrata.
Sementara itu Institut Masa berkata, isu kos sara hidup masih merupakan masalah utama rakyat dengan 42 peratus responden menyatakan kebimbangan diikuti rasuah 12 peratus.
Dalam pada itu, pembangunan ekonomi dan kestabilan politik masing-masing 9 peratus, hak etnik, kebajikan rakyat dan peluang pekerjaan masing-masing 4 peratus, pembangunan infrastruktur dan isu agama masing-masing 3 peratus dan pendidikan 2 peratus.
“Kajian ini juga mendapati hanya 39 peratus responden berpuas hati dengan usaha kerajaan persekutuan menyelesaikan masalah utama mereka.
“Persepsi responden terhadap prestasi ekonomi negara berbelah-bahagi dengan 50 peratus menyatakan rasa puas hati dan hanya 41 peratus berpuas hati dengan pendapatan peribadi mereka,” katanya.
Dari segi dasar kerajaan, pula, kajian mendapati, 63 peratus responden bersetuju dengan dasar rasionalisasi subsidi RON95 dan 55 peratus berpuas hati dengan kaedah pelaksanaannya. — Edisi 9

