Wednesday, July 22, 2026

Lonjakan sokongan rakyat, keyakinan terhadap Kerajaan Madani

Melihat kepada trend ini, jelas bahawa Kerajaan Madani kini menikmati satu momentum politik yang sihat menjelang fasa kedua pentadbiran. 

Mesti Baca

Fazrina K
Fazrina K
Mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia kewartawanan bersama syarikat media terkemuka. Pengkhususan dalam penulisan rencana, laporan khas dan analisis isu-isu semasa.

KEYAKINAN rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan pentadbiran Kerajaan Madani semakin mengukuh apabila tinjauan terbaru Merdeka Center menunjukkan peningkatan ketara dalam sokongan awam.

Daripada hanya 43 peratus pada Jun 2024, sokongan terhadap Perdana Menteri kini melonjak kepada 55 peratus, manakala kepercayaan terhadap Kerajaan Persekutuan meningkat kepada 50 peratus, berbanding 40 peratus sebelum ini. 

Lebih menggembirakan, sebanyak 43 peratus responden percaya Malaysia sedang bergerak ke arah yang betul, satu lonjakan berbanding 29 peratus pada pertengahan tahun lalu.

Tinjauan ini dijalankan antara 12 hingga 23 Mei lalu melibatkan 1,208 pengundi berdaftar dari pelbagai kaum dan wilayah melalui temu bual telefon berstrata.

Komposisi responden terdiri daripada 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, 7 peratus India dan 12 peratus Bumiputera Sabah dan Sarawak merupakan satu taburan yang mencerminkan kepelbagaian etnik di negara ini.

Penganalisis melihat peningkatan sokongan ini bukan sekadar berpunca daripada sentimen semasa, tetapi berakar daripada kestabilan politik yang berjaya diwujudkan selepas episod ketidaktentuan pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

AZMI HASSAN

Kemenangan bergaya dalam beberapa siri pilihan raya kecil serta kedudukan Kerajaan Perpaduan yang kini memiliki majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat telah meyakinkan rakyat bahawa pentadbiran Madani mampu bertahan dan menunaikan janji.

Langkah penting seperti pembentangan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan usaha menambah baik institusi awam turut memberikan impak positif terhadap persepsi awam, menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan struktur dan tadbir urus yang telus.

Faktor ekonomi turut menjadi pemacu utama kepada lonjakan sokongan ini. 

Kadar inflasi yang mencatatkan paras terendah dalam tiga tahun (1.4 peratys) pada Mac 2025 serta pertumbuhan KDNK sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama tahun ini memberikan kelegaan kepada rakyat yang sebelum ini dibelenggu tekanan kos sara hidup.

Langkah kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700, di samping mengekalkan subsidi bahan api dan pemberian bantuan tunai sempena perayaan, jelas diterima baik oleh masyarakat akar umbi. 

Tindakan ini tidak hanya membantu dari sudut ekonomi isi rumah, tetapi turut mencerminkan keprihatinan sosial pentadbiran Madani.

Sokongan terhadap Perdana Menteri turut diperkuat melalui keberkesanan dasar luar dan penglibatan aktif Malaysia di pentas antarabangsa. 

Lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Kuala Lumpur baru-baru ini serta peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menunjukkan keyakinan kuasa besar dunia terhadap kepimpinan Malaysia.

Inisiatif seperti “Selatan Global” yang diterajui Anwar juga mula menarik perhatian masyarakat antarabangsa, meletakkan Malaysia sebagai suara penting bagi negara-negara membangun.

Mengulas tinjauan ini, pakar geopolitik, Profesor Dr. Azmi Hassan menegaskan bahawa meskipun saiz sampel 1,208 mungkin kelihatan kecil berbanding 34 juta penduduk Malaysia, namun metodologi yang digunakan tetap sah dan boleh dipercayai.

“Selagi data dikumpulkan secara saksama dan tidak berat sebelah, keputusan statistik ini amat signifikan. Ia menunjukkan kehendak rakyat yang mahukan pemimpin bukan sahaja petah berbicara, tetapi juga cekap mengurus cabaran global,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.

Beliau turut mengaitkan kejayaan Anwar dengan gaya kepimpinan negara-negara maju seperti Singapura dan Kanada, yang mana keupayaan menangani isu antarabangsa menjadi kayu ukur kejayaan nasional.

Melihat kepada trend ini, jelas bahawa Kerajaan Madani kini menikmati satu momentum politik yang sihat menjelang fasa kedua pentadbiran. 

Walaupun cabaran tetap menanti, terutama dalam aspek reformasi jangka panjang dan penyatuan sokongan rentas kaum, lonjakan sokongan ini menunjukkan rakyat masih memberi ruang kepada kerajaan untuk membuktikan kebolehan.

Persoalan yang timbul kini ialah mampukah kerajaan mengekalkan trajektori ini hingga ke Pilihan Raya Umum akan datang?

Rakyat akan terus menilai, dan angka-angka tinjauan seperti ini bakal menjadi barometer penting kepada sebarang perubahan politik masa depan. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan