
APAKAH benar politik Melayu hari ini semakin lemah sehinggakan parti-parti yang mewakili orang Melayu dilihat ‘tunduk’ kepada politik bukan Melayu, semakin terpinggir atau hilang sokongan?
Edisi 9 melihat masalah sebenar politik Melayu bukan kelemahan sokongan, ketiadaan pemimpin berwibawa tetapi kerana terlalu berhati-hati atau takut untuk membuat keputusan besar.
Kalau dilihat kepada realitinya, politik Melayu masih mempunyai jumlah pengundi yang terbesar, struktur organisasi yang tersusun serta sejarah panjang dalam pemerintahan negara.
Namun mereka kurang keberanian untuk bertindak tegas, jelas dan konsisten termasuk hal-hal yang berkaitan kepentingan dan hak orang Melayu.
Banyak keputusan ataupun pernyataan yang dibuat begitu berlapik atau berhati-hati kerana tidak mahu menyinggung pihak lain.
Melayu tetap Melayu walaupun zaman sudah berubah. Sikap yang terlalu menjaga hati akhirnya mengorbankan prinsip dan hala tuju parti Melayu sendiri untuk jangka panjang.
Mereka terlalu bertolak ansur yang akhirnya mereka ditolak beransur-ansur. Politik Melayu hanya berani sesama Melayu!
Sikap terlalu berhati-hati ini lahir daripada trauma kekalahan lalu, tekanan media sosial dan kebimbangan kehilangan sokongan sementara.
Bagaimanapun harus diingat bahawa politik yang hanya memikirkan masa kini tidak mampu bertahan berbanding politik yang berani merancang untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Inilah yang tidak ada dalam agenda politik Melayu. Mereka hanya memikirkan untuk mengejar kemenangan dalam pilihan raya terdekat tetapi tidak merancang untuk politik masa depan.
Sedangkan realitinya, pengundi tidak akan menghukum parti kerana membuat keputusan yang tegas, tetapi sebaliknya kerana keputusan yang kelihatan mengelirukan atau terlalu defensif.
Apabila sesuatu pendirian itu diambil separuh jalan maka mesej yang sampai kepada rakyat juga hanya separuh masak.
Inilah yang menimbulkan persepsi lemah, walhal puncanya adalah kegagalan membuat keputusan penuh.
Apa yang lebih membimbangkan, budaya berhati-hati ini menjadikan parti-parti Melayu lebih reaktif, bukan strategik.
Setiap isu ditangani selepas ia meledak atau tular dan bukannya sebelum ia membarah. Manakala setiap krisis pula ditenangkan dengan kenyataan yang defensif atau tidak menyakinkan.
Usahlah berkokok soal penyatuan Melayu yang penuh retorik sedangkan mereka tiada keberanian untuk membuat keputusan yang teguh dan berani untuk orang Melayu!
Dalam hal ini, keberanian bukan bermaksud keras atau angkuh tetapi jujur dengan realiti dan sanggup membuat pilihan serta bersedia menanggung akibatnya.
Tanpa keberanian ini, politik Melayu akan terus dilihat lemah, bukan kerana jumlahnya, tetapi kerana ketidaktegasan kepimpinannya.
Politik tidak memerlukan lebih banyak slogan tetapi apa yang lebih penting adalah kejujuran untuk melihat realiti sebagaimana adanya. — Edisi 9

