Sunday, July 19, 2026

Lima teras utama jadi agenda Musyawarah Nasional – Zahid

Dalam usaha menghimpunkan pandangan strategik pelbagai lapisan masyarakat Melayu bagi menentukan hala tuju masa depan umat dan negara.

Mesti Baca

LIMA teras utama iaitu agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial akan menjadi agenda Musyawarah Nasional dalam menghimpunkan pandangan strategik pelbagai lapisan masyarakat Melayu bagi menentukan hala tuju masa depan umat dan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar wacana biasa, sebaliknya satu usaha kolektif untuk mencari titik persamaan, merumus penyelesaian serta membina konsensus nasional dalam mendepani cabaran semasa.

“Musyawarah Nasional ini bukan sekadar satu wacana biasa, sebaliknya merupakan usaha bersama untuk mencari titik temu, merumus penyelesaian serta membina konsensus nasional dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa yang menyentuh kepentingan agama, masyarakat, ekonomi, pendidikan dan politik orang Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Pengasas Musyawarah Nasional berkata, bagi memastikan perbincangan berlangsung secara tersusun dan menyeluruh, setiap teras tersebut akan dipengerusikan oleh tokoh-tokoh dan pakar dalam bidang berkaitan.

Katanya, teras agama akan dipengerusikan oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Prof. Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dengan fokus memperkukuh kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta mempromosi kefahaman Islam yang sederhana dan progresif.

“Teras Politik dipengerusikan oleh Prof. Dr. Zainal Abidin Sanusi, yang akan menilai dinamika politik semasa serta merumus pendekatan baharu bagi memastikan kestabilan politik, kesinambungan kepimpinan dan kematangan demokrasi negara,” katanya.

Tokoh korporat, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir Jamalullail pula, kata beliau, akan mengetuai teras ekonomi dalam usaha memperkukuh kedudukan ekonomi orang Melayu agar lebih berdaya saing dan mampan.

Manakala teras pendidikan dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Canselor, Kolej Universiti MAIWP (UCMI), Datuk Seri Prof Dr Noor Inayah Ya’akub dengan penekanan kepada pembangunan modal insan berkualiti dan peningkatan keupayaan generasi masa depan.

Sementara itu, teras sosial akan dipengerusikan oleh Datuk Prof Dr Mohammad Shatar Sabran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MQA, yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan masyarakat, perpaduan, nilai budaya serta pengukuhan institusi keluarga.

Musyawarah Nasional ini turut dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Ghani Othman yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan sektor korporat sebagai bekas Menteri Besar Johor, Menteri Belia dan Sukan serta Pengerusi Sime Darby.

“Saya yakin dengan penglibatan tokoh-tokoh berwibawa sebagai pengerusi teras serta penyertaan pelbagai pihak termasuk akademia, pemimpin masyarakat, profesional, golongan muda dan badan-badan bukan kerajaan, Musyawarah Nasional ini mampu menghasilkan rumusan yang konstruktif, realistik dan berpandangan jauh demi masa depan negara,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak agar menyertai dan menyumbang pandangan secara terbuka, matang dan bertanggungjawab agar Musyawarah Nasional tersebut dapat menjadi satu platform penting dalam memperkukuh kesatuan, memperkasa agenda bangsa dan membina masa depan Malaysia yang lebih sejahtera.

Untuk rekod Musyawarah Nasional dicetuskan oleh Ahmad Zahid semasa Perhimpunan Agung UMNO 2025 Januari lalu. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan