30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Solidariti PAS, UMNO Selangor tolak lantikan PeKT

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kedudukan PAS dalam kerangka kerjasama politik Perikatan Nasional (PN) kini menjadi tanda tanya khususnya di Selangor berikutan isu lantikan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) yang timbul di negeri itu.

PAS Selangor mengambil pendirian bersolidariti dengan UMNO Selangor dalam menolak pelantikan PeKT yang di bawah kendalian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Kedua-dua parti itu menyatakan pendirian tersebut dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

“UMNO dan PAS Selangor berpendapat jawatan dalam kerajaan bukanlah bahan tawar-menawar tetapi lebih kepada untuk menjaga kebajikan rakyat dan bukan dipergunakan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu,” kata mereka.

Kenyataan itu menjelaskan, sebelum ini, PAS Selangor telah menolak jawatan PeKT dengan tidak mencalonkan nama.

“Sebagai tanda solidariti dan sokongan walaupun UMNO Selangor telah menghantar nama sebelum ini, UMNO Selangor mengambil keputusan menolak jawatan PeKT yang ditawarkan,” tambah kenyataan tersebut.

Pada 12 Februari lalu, Ahmad Yunus pernah menyuarakan pandangan berhubung lantikan parti membabitkan PN di peringkat negeri dan Parlimen.

Beliau berharap agar perara itu dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat dengan persetujuan bersama bagi mencerminkan permuafakatan yang padu.

“Setiap jawatan di peringkat negeri selain Pengerusi dan Naib-naib Pengerusi PN Negeri sewajarnya diputuskan dalam Mesyuarat Badan Perhubungan Perikatan Nasional Selangor.

“Kita kena mengambil kira kekuatan dan kemampuan serta pengaruh masing-masing parti di bawah PN Negeri bagi membentuk sebuah pasukan yang benar-benar berkemampuan dan mempunyai keupayaan mempengaruhi akar-umbi khasnya rakyat Selangor,” katanya.

Pada masa yang sama, Ahmad Yunus menyatakan kesediaan untuk memberikan penglibatan dan kerjasama penuh bagi menjayakan agenda PN di negeri ini dan mengekalkan kerajaan PN (di peringkat pusat) dengan semangat perpaduan ummah.

Sehari sebelumnya, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan PAS Selangor bagi mewujudkan badan perhubungan perikatan tersebut.

Setakat ini, KPKT belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkembangan berkaitan PeKT di Selangor. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan