28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PeKT banyak sangat songeh, ramai pengerusi pening kepala

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh WAK TOTOK

TERKEJUT besar Wak bila dapat tahu Muafakat Nasional (MN) Selangor menolak pelantikan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) kelmarin.

Katanya, UMNO dan PAS Selangor berpendapat jawatan dalam kerajaan bukanlah bahan tawar-menawar tetapi lebih kepada untuk menjaga kebajikan rakyat dan bukan dipergunakan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

Itu yang mereka cakap, Wak sendiri tak tahu apa pun tentang tawar-menawar dan apa yang dijual beli.

Mula-mula agak pelik juga sebab Wak dimaklumkan pengerusi PeKT dapat elaun RM1,000 sebulan dan peruntukan program maksimum RM5,000 setahun.

Kalau ikutkan memang banyak juga. Mengapa pula MN Selangor menolak tuah?

Sebagai seorang manusia yang tabayyun, Wak pun selidiklah dulu apa isu berkaitan PeKT yang nampaknya ramai orang belum tahu kewujudannya ini.

PeKT
Kalau nak tahu, inilah dia logo PeKT.

Bagi yang kurang faham, PeKT peranannya lebih kurang macam ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bezanya, PeKT melapor terus kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan tiada kaitan langsung dengan PBT.

Kerjanya menggerakkan program-program kemasyarakatan di zon masing-masing di luar platform parti politik.

PeKT hanya wujud di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Kembali kepada soal tabayyun tadi, kawan-kawan Wak di Negeri Sembilan ramai yang merungut selepas mengikuti taklimat PeKT oleh KPKT semalam.

Ada juga yang ingin MN di negeri adat perpatih itu mengikut langkah rakan-rakan mereka di Selangor.

Senang cerita, biar Wak butirkan satu persatu rungutan mereka supaya semua orang mudah faham.

Tiada elaun, jawatankuasa kerja secara sukarela wal amal jariah

Rupa-rupanya peruntukan RM1,000 sebulan itu untuk perbelanjaan pengurusan sahaja seperti membayar sewa premis, membeli alat tulis, kos perjalanan dan perbelanjaan berkaitan mesyuarat jawatankuasa.

Setiap duit yang dibelanjakan mesti disertakan dengan resit sebagai bukti bila diaudit nanti.

Pengerusi tidak dibenarkan menggunakan peruntukan pengurusan bulanan untuk membayar elaun diri sendiri dan ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

Elaun kehadiran mesyuarat pun tak ada, setakat dapat makan bihun goreng, karipap dan kuih ketayap sambil minum teh atau kopi aje lah.

Kasihan juga Wak bila memikirkannya sebab ketua kampung dan ahli majlis PBT dapat elaun bulanan tanpa banyak remeh-temeh pun.

Takkanlah PeKT di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sangat prihatin tidak boleh menyediakan elaun untuk pengerusi dan ahli jawatankuasa.

Mereka pun bekerja membantu menaikkan imej PN juga. Mengapa berkira sangat?

Bayar duit sendiri dulu, buat tuntutan kemudian

Peruntukan program RM5,000 setahun pun banyak songehnya juga.

Mula-mula, ramai pengerusi PeKT menyangka KPKT akan menyalurkan dana selepas permohonan peruntukan program diluluskan.

Rupa-rupanya bukan begitu. Kelulusan hanya untuk menganjurkan program seperti gotong-royong, kesedaran kesihatan persekitaran dan kebajikan masyarakat.

Buat dulu program menggunakan duit sendiri dahulu dan buat tuntutan rasmi kepada KPKT kemudian.

Boleh bengkok juga pengerusi PeKT dibuatnya kalau pembekal minta bayar dahulu.

Contohnya, kalau program bakul makanan, takkanlah nak ambil barang di kedai guna modal air liur sahaja.

Memanglah KPKT jamin akan bayar mengikut had peruntukan yang diluluskan tetapi soalnya, bila peruntukan akan turun?

Sementara tunggu peruntukan turun, terpaksalah pengerusi PeKT bayar guna duit sendiri atau tebalkan muka bila tauke kedai bising minta bayaran.

Kertas kerja bertimbun-timbun

Kebanyakan pengerusi PeKT adalah golongan yang agak berumur. Yang masih muda pun ada kerja sepenuh masa.

Tiap-tiap bulan mereka mesti menyediakan dan menghantar laporan perbelanjaan pengurusan kepada KPKT.

Setakat ini, resit perbelanjaan tak perlu hantar tetapi mesti disimpan untuk tujuan audit.

Begitu juga dengan peruntukan program RM5,000 setahun.

Semasa memohon, mesti sediakan kertas cadangan dan selepas program selesai, kena buat butiran perbelanjaan.

Memang leceh dan menyusahkan sebab pengerusi PeKT mesti membuat kertas kerja sendiri.

Elaun sendiri pun tak ada, mimpilah hendak mengupah kerani hatta secara sambilan sekali pun.

Memang KPKT ada sediakan template dokumen dan borang, tetapi tetap juga kena isi sendiri.

Kalau yang ada komputer sendiri tak mengapalah. Kalau yang tak ada, bagaimana?

Semua bayaran mesti guna cek

Setiap PeKT dimestikan membuka akaun semasa bagi membolehkan pembayaran dibuat menggunakan cek.

Alasannya supaya mudah diaudit setiap butiran wang yang digunakan.

Wak agak pening sedikit bila mengenangkan bagaimana hendak keluarkan cek kalau duit dalam akaun belum masuk.

Untuk pengurusan bulanan mungkin tak ada masalah sebab duit masuk ke dalam akaun setiap bulan.

Kalau untuk penganjuran program maksimum RM5,000 setahun, bagaimana pula?

PeKT kena bayar guna duit sendiri dahulu. Jadi, cek-cek yang dikeluarkan selepas dana diterima akan dibayar atas nama pengerusi?

Wak bimbang ada masalah pula masa buat tuntutan dan audit sebab cek tidak dikeluarkan atas nama pembekal.

Memang naya pengerusi PeKT sebab dah keluar duit dari poket sendiri dahulu.

Katakan pengerusi tak cukup duit dan bayar dulu guna peruntukan pengurusan bulanan, boleh jadi berbelit-belit juga semasa buat kertas kerja.

Mana tidaknya, duit pengurusan bulanan digunakan untuk membayar kos penganjuran program.

Selepas terima dana penganjuran program, ke mana duit itu hendak disalurkan sebab pembayaran telah pun dibuat menggunakan peruntukan pengurusan bulanan.

PeKT
Kenyataan MN Selangor yang menolak pelantikan PeKT. Tak pasti sama ada MN di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan bersolidariti bersama mereka.

Waduh, waduh. Kepala Wak pun berpinar-pinar memikirkan masalah ini.

Jadi, Wak cadangkan supaya peruntukan pengurusan bulanan itu boleh digunakan sebahagiannya atau keseluruhannya untuk membayar elaun ahli-ahli jawatankuasa PeKT termasuk pengerusi.

Wakil rakyat termasuk menteri pun ada elaun, jadi takkanlah nak harapkan ahli jawatankuasa PeKT kerja secara amal jariah.

Sewa premis pun rasanya tak perlu sebab mereka bekerja dari rumah atau boleh menggunakan pusat khidmat masyarakat untuk bermesyuarat.

Urusan surat-menyurat pun tak perlu sebab zaman sekarang semuanya guna WhatsApp sahaja.

Peruntukan program maksimum RM5,000 setahun pula sepatutnya disalurkan bersama dengan kelulusan, kemudian barulah PeKT menyenaraikan butiran perbelanjaan.

Kalau perbelanjaan kurang, pulangkan semula lebihannya kepada KPKT.

Kalau terlebih, PeKT terpaksalah tanggung sendiri.

Harap KPKT ambil maklum dan ambil tindakan tentang isu-isu yang dibangkitkan kawan-kawan Wak di Negeri Sembilan ini.

Kalau banyak songeh sangat, tak mustahil mereka akan bersolidariti dengan rakan-rakan seperjuangan di Selangor.

Lagipun, mereka tak rugi apa sebab bukan ada elaun bulanan pun kalau bersetuju dengan lantikan.

Pesan Wak kepada KPKT, kalau nak buat, buat betul-betul. Kalau pakai tangkap muat sahaja, lebih baik tak ada.

  • Wak Totok ialah seorang pemerhati politik semasa yang teguh memperjuangkan alif, ba, ta sejak dulu kini dan selama-lamanya.
  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan