24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Tiga wanita dibunuh dalam seminggu! Apa sudah jadi, dunia?

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

MENGUCAP panjang penulis apabila membaca laporan media tiga wanita dibunuh dalam tempoh seminggu. Ironinya kejadian berlaku ketika dunia sedang meraikan Hari Wanita yang disambut pada 8 Mac lalu.

Daripada tiga kejadian tersebut, dua dipercayai membabitkan suami mereka sendiri manakala seorang lagi belum diketahui, tetapi disyaki dilakukan oleh rakan sekerjanya.

Kes pertama membabitkan seorang isteri berusia 38 tahun yang ditembak dengan senapang angin ketika mangsa sedang tidur. Kejadian berlaku di Kota Tinggi, Johor pada 5 Mac lalu.

Kematian wanita terbabit cukup menyayat hati. Selepas ditembak, mangsa dibungkus dengan cadar, disumbat ke dalam tong air biru, di bawa dengan pacuan empat roda ke Bandar Penawar sebelum ditanam di sebuah ladang serai.

Suami mangsa berusia 40-an yang ditahan kemudian mengaku melakukan jenayah tersebut. Motif kerana cemburu selepas polis menemui surat tuntutan fasak.

Kes kedua membabitkan seorang wanita bujang berusia 32 tahun, ditemukan mati dijerut dalam rumah sendiri di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang pada 7 Mac lalu.

Mangsa adalah Nik Khatijah Nik Mud, Pengarah Jabatan Advokasi, Pertubuhan IKRAM Malaysia. Ketika ditemukan dia dipercayai sudah meninggal dunia lebih 24 jam.

Sehingga kini seorang suspek yang juga rakan sekerja mangsa ditahan untuk membantu siasatan. Motif kejadian masih belum diketahui.

Manakala kejadian ketiga, membabitkan seorang isteri yang sedang sarat mengandung ditetak dengan parang panjang oleh suami sendiri di Tawau, Sabah.

Suami yang dikatakan warganegara Filipina melibas parang panjang pada leher isteri. Motif pembunuhan belum diketahui tetapi dipercayai ada kaitan dengan isu rumahtangga.

Itulah tiga kejadian bunuh membabitkan mangsa wanita dan pelakunya beragama Islam dalam tempoh seminggu yang dilapor oleh pihak media.

Penulis tertanya-tanya, apa sudah jadi dengan masyarakat kita hari ini. Begitu sakitkah sehingga semakin hilang perikemanusiaan sehingga sanggup membunuh?

Apakah ada kaitan dengan keadaan ekonomi masyarakat kita hari ini yang dicabar dengan pandemik Covid-19 yang berpanjangan sehingga ramai yang hilang pekerjaan dan pendapatan keluarga terjejas teruk?

Atau apakah ia dipengaruhi oleh cuaca panas sekarang ini menyebabkan emosi masyarakat terganggu dan cepat hilang sabar?

Kalau mengikut teori ahli kriminologi, kes-kes jenayah termasuk pembunuhan dikaitkan dengan tiga aspek iaitu dari segi ekonomi, pengalaman lampau dan pengetahuan tentang teknik melakukan jenayah.

Penulis tidak pasti apakah ketiga-tiga kes kematian wanita berkenaan adalah kerana untuk mendapatkan pulangan dari segi ekonomi atau sebaliknya, atau kerana faktor sejarah silam pelaku.

Advertisements

Itu memerlukan kajian yang mendalam terhadap si pelaku untuk mendapatkan jawapannya, dan dalam hal ini masih terlalu awal untuk menentukan punca kejadian tersebut.

Namun dalam hal ini penulis bimbang kes-kes di atas berlaku hanya kerana kesan sampingan daripada pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan ekonomi dan emosi masyarakat.

Seorang pengamal undang-undang, Datuk Hazizah Kassim yang dihubungi penulis, tidak menafikan bahawa pandemik Covid-19 yang berpanjangan serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh mencetuskan gangguan emosi dalam kalangan masyarakat.

HAZIZAH KASSIM

Beliau berkata, umum sudah mengetahui bahawa pelaksanaan PKP telah menyebabkan sumber pendapatan sebilangan masyarakat terjejas khususnya mereka yang bekerja sendiri.

“Ramai juga yang hilang pekerjaaan dan dipotong gaji. Senario ini menjejaskan pendapatan bulanan isi rumah dan mencabar bagi ahli keluarga untuk meneruskan kehidupan selain persekolahan anak-anak.

“Impak kepada sesebuah keluarga akan lebih parah jika ada yang mendapatkan bantuan syarikat pinjaman yang mengenakan kadar bunga yang tinggi,” katanya.

Walau bagaimanapun, untuk mengaitkan ketiga-tiga kejadian bunuh tersebut disebabkan oleh faktor tersebut, ia masih terlalu awal untuk disimpulkan bahawa jenayah itu dilakukan oleh pasangan masing-masing.

Namun, katanya, untuk menafikan faktor kemelut rumah tangga menjadi antara faktor penyumbang adalah agak sukar kerana dari laporan media oleh pihak polis, wujud elemen konflik rumahtangga.

Pun begitu, banyak faktor yang menjadi punca pelaku sanggup melakukan pembunuhan ke atas pasangan masing-masing.

“Perasaan dendam, marah yang membuak-buak, tekanan perasaan dan emosi yang berlarutan. Mungkin juga disebabkan faktor provokasi yang dilakukan oleh mangsa.

“Kesemua faktor ini jika berkaitan merupakan penyakit mental yang perlu dikawal dan dirawat,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Jelas beliau, untuk berubah, mereka perlu ada kesediaan untuk berdamai dengan diri sendiri serta pasangan penting.

Selain itu, jelas beliau, masyarakat perlu memperbetulkan minda mereka, mengubah sikap dan kebiasaan serta yang utama, kembali kepada ajaran agama.

“Jika krisis rumahtangga masih tidak boleh diatasi dan berlaku insiden keganasan yang tidak sepatutnya, isteri boleh keluar dari rumah perkahwinan untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan,” katanya.

Biar apapun alasan, masyarakat perlu mengambil langkah perlu untuk mengelak berlakunya kejadian seperti ini.

Ambil tahu masalah jiran-jiran, rakan sekerja dan rakan-rakan antara tindakan awal yang boleh dilakukan. Siapa tahu, kerana sikap cakna kita, kita dapat menghentikan perlakuan jenayah domestik seperti ini. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan