24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Dapat suami kaki pukul? Ini yang patut dilakukan oleh si isteri!

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Seorang isteri perlu mengutamakan keselamatan diri berbanding untuk menyelamatkan rumah tangga apabila berdepan dengan kes keganasan rumah tangga.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Datuk Hazizah Kassim berkata, isteri juga boleh membuat laporan kepada pihak polis untuk membolehkan suaminya disiasat atas keganasan yang dilakukan.

Beliau berkata, kepada isteri yang berdepan dengan keganasan rumah tangga jangan hanya bersikap pasrah dan meratapi nasib kerana sayangkan rumah tangga dan anak-anak.

Berikut kenyataan beliau berhubung keganasan rumah tangga dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pihak isteri:

Semalam, negara dikejutkan dengan insiden pembunuhan seorang wanita yang berlaku di Kota Tinggi Johor.

Media melaporkan mangsa ditembak dengan menggunakan senapang angin oleh suami ketika mangsa sedang tidur di rumah sekitar pukul 2 pagi.

Mayatnya dibalut dengan cadar dan dimasukkan ke dalam tong sebelum ditanam.

Semoga Allah SWT merahmati roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman.

Di sebalik kejadian duka itu, media turut melaporkan penemuan dokumen fasakh di rumah mangsa yang menunjukkan mangsa sedang dalam proses menuntut perceraian daripada suami.

Mengambil kira wujudnya dokumen fasakh, insiden pembunuhan mangsa oleh perbuatan suami sendiri dan rekod jenayah keganasan suami sebelum ini, beberapa pengajaran boleh diambil oleh mereka yang sedang bergelut dengan cabaran dalam rumah tangga.

Saya kira dalam menangani apa jua insiden keganasan rumahtangga yang berlaku dalam empat penjuru rumah, mangsa harus mengamalkan prinsip yang utama – SAYANGI DIRI SENDIRI.

Tidak dapat dinafikan, wanita sebagai ibu merupakan insan yang menjadi pergantungan utama anak-anak yang masih kecil. Maka seorang wanita menyelamatkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum memikirkan nasib anak-anak.

Perkara pertama yang boleh diambil oleh mangsa keganasan rumahtangga adalah keluar dari rumah perkahwinan dengan tujuan menyelamatkan diri.

Jangan termakan dengan frasa ‘derhaka’ yang seringkali menjadi alunan zikir pelaku keganasan rumahtangga setiap kali isteri keluar dari rumah untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan.

Dalam mengambil langkah ini, tidak salah jika insiden dan kisah keganasan dikongsikan dengan ahli keluarga terdekat untuk mendapatkan sokongan dan perlindungan.

Kedua, isteri boleh membuat laporan polis tentang insiden keganasan yang dialami untuk melindungi diri atau meminta siasatan lanjut diambil oleh pihak polis terhadap suami yang melakukan penderaan.

Kerap kali isteri yang menjadi mangsa dera menggunakan pendekatan membuat laporan polis sekadar untuk melindungi diri dan bukan untuk tindakan siasatan terhadap suami.

Advertisements
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika sidang akhbar berhubung pembunuhan seorang wanita yang disyaki dilakukan oleh suaminya sendiri di Johor Bahru, semalam.

Isteri masih lagi memberi keutamaan kepada nasib anak-anak dan enggan anak-anak tahu yang bapa mereka bakal ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang.

Jika insiden dera adalah perbuatan kali pertama, pilihan pertama mungkin masih relevan.

Namun jika perbuatan dera sering berlaku, mangsa perlu tegas untuk membuat laporan polis bagi tujuan siasatan agar tindakan boleh diambil untuk menyelamatkan mangsa dan menangkap pelaku untuk siasatan dan tindakan undang-undang yang wajar.

Ketiga, jika ada kesan dera pada tubuh badan, mangsa perlu berani untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Pemeriksaan kesihatan merupakan antara bukti kukuh yang membantu mangsa dera sama ada dalam kes jenayah terhadap pelaku iaitu suami di mahkamah sivil atau permohonan perceraian secara fasakh di mahkamah syariah.

Selain itu, bagi para isteri yang telah lama menjadi mangsa dera secara sembunyi yang berlaku dalam kamar tidur atau rumah perkahwinan, Akta Keganasan Rumahtangga 1994 termasuk pindaannya telah menyediakan peruntukan perlindungan yang pelbagai untuk menyelamatkan mangsa, ahli keluarga dan juga rumahtangga yang telah dibina.

Saya menasihati supaya mangsa keganasan rumahtangga tidak mudah pasrah dan meratapi nasib dengan menerima apa sahaja perlakuan keganasan yang dialami.

Beranilah untuk bertindak menyelamatkan diri dan anak-anak. Masyarakat, agensi penguatkuasa dan undang-undang tidak akan dapat membantu mangsa keganasan rumahtangga melainkan mangsa berani bersuara dan bersedia untuk dibantu.

Menjaga dan menyelamatkan nyawa adalah antara syariat Islam yang perlu dipertahankan kerana nyawa sangat penting dalam kehidupan. Apa jua perkara yang boleh membahayakan nyawa adalah ditegah oleh Islam.

Demi melindungi nyawa sendiri dan anak-anak, pada hakikatnya wanita mangsa keganasan rumah tangga tiada pilihan lain kecuali berani bersuara dan bertindak untuk keluar dari kepompong keganasan yang dicipta oleh pasangan sendiri.

Ketepikan elemen-elemen lain seperti perasaan malu pada keluarga, rakan dan masyarakat kerana tidak mahu dikatakan tidak bahagia dan seumpamanya.

Fokus kepada isu utama – apa yang perlu dilakukan dan bagaimana harus bertindak untuk menyelamatkan diri dan masa depan anak-anak.

Semoga insiden duka yang berlaku pada 5 Mac 2021 itu menjadi titik tolak kepada golongan isteri yang menjadi mangsa dera dalam rumahtangga agar berani dan bijaksana untuk bertindak.

Mangsa tidak mampu menghidu perancangan keganasan yang akan dilakukan oleh pelaku keganasan yang tinggal serumah.

Mangsa juga tidak punya kudrat untuk mengawal pergerakan pelaku. Apa yang ada hanyalah keberanian untuk menyelamatkan diri dan nyawa.

Keganasan rumah tangga ibarat api dalam sekam yang membakar marak dalam diam. Usah biarkan keganasan rumahtangga menjadi sebagai ‘perkara biasa’ dan kelaziman dalam kehidupan rumah tangga.

Gunakanlah sedikit keberanian yang ada untuk bangkit dan bertindak. Semoga Allah SWT merahmati kita semua. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan