36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Hospital Medan Malaysia Cox’s Bazar diserah kepada Bangladesh

Mesti Baca

COX’S BAZAR – Kerajaan Malaysia secara rasminya telah menyerahkan Kompleks Hospital Medan Malaysia Cox’s Bazar kepada Kerajaan Bangladesh semalam.

Acara bersejarah itu telah disempurnakan di negara berkenaan oleh Pesuruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh, Haznah Md Hashim selaku wakil Kerajaan Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi Bantuan dan Penempatan Semula Pelarian (RRRC) Bangladesh, Shah Rezwan Hayat yang mewakili kerajaannya.

Penyerahan kompleks itu menandakan penarikan penuh pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar yang telah dibuka selama tiga tahun sejak Ogos 2017.

HMM merupakan hospital medan tahap tiga yang pertama beroperasi di Cox’s Bazar bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada lebih sejuta pelarian Rohingya dari Myanmar.

Sebelum ini, kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan pengoperasian Hospital Medan Malaysia pada tahun lalu berbanding dengan mandat operasi yang sepatutnya tamat pada Disember 2021.

Haznah dalam ucapannya berkata, penyerahan kompleks itu melambangkan sokongan berterusan dan solidariti Kerajaan Malaysia kepada Kerajaan Bangladesh dalam menangani isu pelarian di negara berkenaan.

“Ia turut melambangkan hubungan persaudaraan di antara dua negara,” jelasnya seperti dipetik daripada kenyataan yang dikeluarkan Markas Angkatan Bersama, hari ini.

Sementara itu, Shah Rezwan dalam ucapannya menyatakan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang telah membantu Kerajaan Bangladesh bagi menyediakan khidmat bantuan kemanusiaan yang terbaik kepada pelarian Rohingya di Cox’s Bazar dan penduduk tempatan berhampiran.

Selepas majlis penyerahan aset kepada RRRC, Haznah juga berbesar hati untuk menyampaikan sendiri sumbangan peralatan perubatan dari HMM kepada wakil Tentera Darat dari Divisyen keseluruh Infantri, Kem Ramu.

Majlis disempurnakan dengan upacara menandatangani dokumen dan batu monumen sebagai simbolik bagi penyerahan kompleks.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah pegawai-pegawai kanan dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Ketua Pengarah dan pegawai kanan dari Kementerian Luar Bangladesh, pegawai dari Kementerian Pengurusan dan Bantuan Bencana, Ketua Pesuruhjaya Tinggi Untuk Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) di Cox’s Bazar, Ita Schutte, wakil Tentera Darat Bangladesh, Pengarah Negara HOPE Foundation dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan serta Ketua Tim HMM Kolonel Dr Mohamed Zaki Mohamed Mokhtar. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan