32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Sanggup bayar kompaun RM10,000 masuk pusat hiburan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Seramai 260 individu sanggup dikenakan kompaun maksimum RM10,000 semata-mata kerana ingin mengunjungi pusat hiburan semalam.

Aktiviti tersebut merupakan perkara yang dilarang di bawah prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara keseluruhan, seramai 458 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar SOP PKP.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 438 orang dikompaun, tujuh orang direman manakala 13 orang lagi dijamin.

“Antara kesalahan direkodkan adalah aktiviti pusat hiburan (260), rentas daerah/ negeri tanpa kebenaran (90), gagal menyediakan peralatan/ merekod diri/ pelanggan (40), tiada penjarakan fizikal (39), tidak memakai pelitup muka (26), premis beroperasi lebih masa/ tanpa kebenaran (3),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 70,320 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

Sebanyak 3,253 Pasukan Pematuhan melibatkan 14,998 anggota telah membuat pemantauan di 6,767 buah restoran, pasar raya (4,668), bank (2,785), penjaja (4,256), pasar awam/tani (137), kilang (2,590) dan pejabat kerajaan (898).

Turut dipantau adalah tempat ibadah (294), tempat riadah (18,718), terminal pengangkutan darat (3,502), terminal pengangkutan air (1,860) dan terminal pengangkutan udara (596).

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri menambah, pasukan keselamatan telah menahan lapan pendatang asing tanpa izin dan merampas empat kenderaan darat dalam Op Benteng di seluruh negara, semalam.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 116 buah bot/ kapal di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan,” jelasnya.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) di Pulau Tioman, Pahang mulai esok hingga 29 Mac.

“Sehingga 14 Mac 2021, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 48 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 16 kes positif telah direkodkan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” ujarnya.

Ismail Sabri berkata, PKPD di Nabawan, Sabah yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 30 Mac.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 3,079 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 279 kes telah direkodkan.

“Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan mengesahkan masih terdapat baki 872 sampel saringan yang belum mendapat keputusan,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Afidavit Zahid manifestasi usaha pembelaan terhadap Najib

TINDAKAN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memfailkan afidavit tambahan bagi menyokong petisyen Datuk Seri Najib Razak berhubung kewujudan...

Lagi Artikel Berkaitan