32.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Guna budi bicara lepaskan orang miskin dari kompaun

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pegawai kesihatan daerah mungkin dibenarkan untuk menggunakan budi bicara bagi melepaskan golongan yang kurang berkemampuan daripada bayaran kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Teknikal antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) dan Kementerian Kesihatan petang tadi.

“Ada yang lakukan kesalahan datang dari kategori pendapatan rendah, orang kampung, penoreh getah anak 7 dan 8 orang, berbeza dengan orang yang ada pendapatan banyak dan besar.

“Terpulang budi bicara pegawai kesihatan daerah untuk tentukan untuk orang miskin, orang kampung. Kalau nak lepaskan pun budi bicara dia,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Baru-baru ini tular dalam media sosial mengenai golongan miskin dan berpendapatan rendah termasuk pengemis turut dikenakan kompaun RM10,000 kerana ingkar SOP PKP.

Beliau menambah, mesyuarat tersebut turut membincangkan tentang perincian nilai kompaun yang boleh dikenakan oleh pegawai kesihatan daerah mengikut kategori kesalahan yang dilakukan.

Ismail Sabri memberitahu, sebagai contoh, nilai kompaun untuk kesalahan mengunjungi kelab malam seharusnya berbeza dengan yang dikenakan terhadap mereka yang tidak memakai pelitup muka.

“Kita katakan langgar SOP kerana mengunjungi kelab malam RM10,000, langgar SOP tak pakai pelitup muka berapa maksimum.

“Kita setuju Kementerian Kesihatan buat perincian dari segi kesalahan dan hukuman,” jelasnya.

Menurut beliau, hasil perbincangan Mesyuarat Teknikal tersebut seterusnya akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet atau Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok.

Ismail Sabri sekali lagi menjelaskan bahawa kompaun RM10,000 yang dikenakan masih boleh dirayu dan nilai sebenar akan ditentukan oleh pegawai kesihatan daerah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, polis menahan seramai 134 individu semalam atas kesalahan ingkar SOP PKP.

Ismail Sabri memberitahu, daripada jumlah itu, 127 orang telah dikompaun manakala tujuh orang direman.

“Antara kesalahan ingkar SOP adalah gagal menyediakan peralatan/ merekod butiran diri/ pelanggan (36), tidak memakai pelitup muka (31), rentas negeri/ daerah tanpa kebenaran (26), tiada penjarakan fizikal (20), premis beroperasi lebih masa/ tanpa kebenaran (17), dan lain-lain (4),” ujarnya.

Selain itu, beliau menambah, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas tiga kenderaan darat dan sebuah bot dalam Op Benteng di seluruh negara, semalam.

“Dalam operasi itu juga, 77 buah bot/ kapal turut dikesan di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Dewan Rakyat lulus RUU Pindaan AUKU 2023

DEWAN Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan) 2023 setelah dibacakan buat...

Lagi Artikel Berkaitan