28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

3 lagi negeri bawah PKPP, rentas negeri masih dilarang

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Tiga lagi negeri iaitu Negeri Sembilan, Kedah dan Perak dikeluarkan dari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan diletakkan di bawah PKP Pemulihan (PKPP) mulai 19 hingga 31 Mac ini.

Walau bagaimanapun, Kuala Muda dan Kulim di Kedah serta Seremban di Negeri Sembilan masih lagi dikuatkuasakan PKPB berikutan kadar jangkitan yang tinggi.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lima negeri dan satu Wilayah Persekutuan iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak masih kekal di bawah PKPB mulai 19 hingga 31 Mac.

Penguatkuasaan PKPB di Sarawak dilanjutkan mulai hari ini hingga 29 Mac.

“Tujuh negeri dan Wilayah Persekutuan kekal di bawah PKPP iaitu Perlis Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah (kecuali Nabawan), Putrajaya dan Labuan,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Tempoh penguatkuasaan PKPP juga dilanjutkan mulai 19 hingga 31 Mac.

Beliau menambah, perjalanan rentas negeri juga masih tidak dibenarkan kecuali bagi aktiviti pelancongan melalui gelembung perjalanan yang telah diumumkan sebelum ini.

Ismail Sabri memberitahu, rentas daerah dibenarkan di semua negeri kecual Sabah dan Sarawak di mana larangan dikuatkuasakan atas permintaan kerajaan negeri masing-masing.

Beliau turut mengumumkan kelonggaran untuk penganjuran bazar Ramadan, bazar Aidilfitri dan solat sunat tarawih di masjid serta surau dengan prosedur operasi ketat (SOP) pada bulan Ramadan nanti.

Ismail Sabri berkata, antara SOP yang perlu dipatuhi adalah lokasi di kawasan terbuka, menyediakan laluan sehala- pintu masuk dan keluar berbeza., pendaftaran MySejahtera di pintu masuk dan kawalan jumlah pengunjung.

“Waktu operasi bazar Ramadan dari pukul 3.00 petang hingga 8.00 malam dan bazar Aidilfitri dari pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.

“Walau bagaimanapun, dari sudut lokasi, jumlah gerai serta saiz tapak dan lain-lain akan ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri masing-masing,” ujarnya.

Selain itu, menurut beliau, mesyuarat juga bersetuju untuk membenarkan solat tarawih secara berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara.

“Walau bagaimanapaun, jumlah kehadiran jemaah adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri-negeri,” jelasnya. – EDISI 9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan