33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Tiada kerjasama dengan UMNO, hanya perbincangan awal – Anwar

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa tiada sebarang kerjasama dijalin dengan UMNO setakat ini tetapi hanya sekadar perbincangan awal.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR itu, ramai yang salah faham apabila beliau menyatakan kemungkinan akan ada kerjasama dengan UMNO tetapi beliau tidak pernah menyatakan perkara itu sudah dimuktamatkan.

Katanya, beliau memang ada berbincang dengan pemimpin UMNO dan itu adalah perkara biasa kerana pada masa yang sama beliau juga berbincang dengan para pemimpin parti lain termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Janganlah andaikan seolah-olah sudah ada persefahaman (antara Pakatan Harapan dan UMNO)… sehingga ada yang bangkitkan soal kluster mahkamah.

“Jumpa saya jumpa semua. Apa hak saya untuk nafikannya. Bincang dengan Mahathir boleh dahulu, kenapa bincang dengan orang lain tak boleh?,” kata beliau dalam sidang media hari ini yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi PKR.

Dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia Ahad lalu, Anwar mengakui wujudnya perbincangan dengan UMNO untuk bekerjasama pada PRU-15.

Beliau turut memberi jaminan akan membuat penjelasan kepada anggota PKR untuk mengelakkan masalah yang mungkin timbul dalam rancangan kerjasama dengan UMNO.

Ekoran itu timbul pelbagai spekulasi berhubung kerjasama UMNO dan PH yang turut dianggotai DAP dan Amanah.

Malahan beberapa pihak termasuk kalangan pemimpin UMNO sendiri menggunakan sumber tersebut untuk “menyerang” Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, UMNO masih mengekalkan dasar tidak bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Beliau memberitahu, keputusan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2019 berhubung perkara itu masih terpakai.

Pada masa yang sama, katanya, semua pemimpin tertinggi UMNO berkali-kali menyebut tidak timbul kerjasama dengan PKR dan DAP.

Sementara itu Anwar berkata, PH masih berpegang kepada empat prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan iaitu berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam agama rasmi, hak keistimewaan orang Melayu serta kedaulatan raja-raja Melayu.

“Ini pendirian PH dan saya percaya ini juga pendirian UMNO,” katanya sambil menegaskan bahawa hak-hak warganegara dari kaum lain juga akan tetap dibela. – Edisi 9

Terkini

Dewan Rakyat lulus RUU Pindaan AUKU 2023

DEWAN Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan) 2023 setelah dibacakan buat...

Lagi Artikel Berkaitan