24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

CBP AS sita sarung tangan buatan Top Glove

Mesti Baca

WASHINGTON – Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) semalam mengumumkan bahawa ia telah mengeluarkan arahan kepada kakitangan di semua pelabuhan masuk di negara itu untuk menyita sarung tangan pakai buang buatan Top Glove Corporation Bhd (Top Glove).

Pejabat Perdagangan agensi berkenaan menerbitkan penemuan tentang buruh paksa dalam pembuatan sarung tangan pakai buang oleh Top Glove di Malaysia dalam Buletin Kastan dan Daftar Persekutuan setelah mendapatkan pandangan Setiausaha Perbendaraan AS.

Penemuan itu menyatakan bahawa CBP mempunyai maklumat mencukupi bagi mempercayai Top Glove menggunakan buruh paksa dalam pembuatan sarung tangan pakai buang.

Barangan yang dinyatakan dalam penemuan buruh paksa itu akan disita sebaik sahaja memasuki sebuah pelabuhan di AS.

Pegawai kanan yang memangku tugas Pesuruhjaya CBP, Troy Miller berkata, penemuan itu adalah hasil penyiasatan CBP selama setahun yang memberi tumpuan terhadap usaha menghalang barangan yang dihasilkan melalui perhambaan moden daripada didagangkan di AS.

“CBP tidak akan bertolak ansur terhadap eksploitasi syarikat-syarikat asing terhadap pekerja-pekerja yang tidak berdaya untuk menjual produk murah yang dihasilkan secara tidak beretika kepada para pengguna di AS,” katanya dalam kenyataan media.

Sementara itu, Pemangku Pembantu Eksekutif Pesuruhjaya Perdagangan CBP, John Leonard berkata, CBP telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan tindakan penguatkuasaan bersasar terhadap Top Glove tidak akan mempunyai kesan besar terhadap import keseluruhan sarung tangan pakai buang AS.

“Kami akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan dari agensi lain untuk memastikan bahawa peralatan perlindungan peribadi, peralatan perubatan dan farmaseutikal yang diperlukan untuk menangani COVID-19 dibenarkan masuuk secepat mungkin dan pada masa yang sama memastikan barangan tersebut telah diluluskan dan selamat untuk digunakan,” jelasnya.

Advertisements
Top Glove
Sarung tangan pakai buang yang dihasilkan di kilang Top Glove. – Gambar hiasan: Laman sesawang korporat Top Glove

Penemuan itu adalah susulan Perintah Pelepasan Sekatan (WRO) yang dikeluarkan agensi terbabit pada Julai 2020.

WRO tersebut adalah berdasarkan maklumat wajar tetapi tidak konklusif bahawa beberapa petunjuk tentang amalan buruh paksa wujud dalam proses pengeluaran Top Glove termasuk ikatan hutang, kerja lebih masa berlebihan, persekitaran tempat kerja dan tempat tinggal yang tidak mesra pekerja dan dokumen pengenalan diri pekerja disimpan oleh majikan.

Penemuan semalam adalah yang penemuan amalan buruh paksa kedua yang dikeluarkan CBP dalam tahun fiskal 2021.

Semua penemuan boleh diakses oleh orang ramai dan disenaraikan mengikut negara dalam laman WRO dan Penemuan Amalan Buruh Paksa milik CBP.

Statut Persekutuan 19 USC 1307 melarang import barang dagangan yang dilombong, dikilang atau dihasilkan, sama ada keseluruhan atau sebahagian, dengan menggunakan tenaga kerja banduan, buruh paksa dan/ atau kuli kontrak, termasuk kanak-kanak.

CBP akan menahan kemasukan barangan yang disyaki melanggar statut berkenaan.

Sekiranya CBP mempunyai bukti mencukupi bahawa barangan yang diimport dihasilkan menggunakan buruh asing, agensi berkenaan akan menerbitkan penemuan rasmi dalam Buletin Kastam dan Daftar Persekutuan selaras dengan 19 CFR. §12.42(f).

CBP akan menyita penghantaran tertakluk kepada penemuan kecuali pengimport boleh membuktikan kepada CBP bahawa di bawah 19 CFR §12.43 barangan mereka tidak dihasilkan dengan menggunakan buruh paksa. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan