TINDAKAN Amerika Syarikat (AS) di bawah pimpinan Presiden Donald Trump yang menaikkan tarif resiprokal kepada 24 peratus bagi eksport Malaysia ke negara itu adalah tidak adil, kata Pemuda UMNO Malaysia.
Setiausahanya, Hafiz Ariffin berkata, tindakan unilateral itu mencerminkan sikap proteksionis melampau yang bercanggah dengan semangat perdagangan bebas dan kerjasama serantau.
Beliau berkata, tarif yang berkuat kuasa 9 April itu bakal memberi kesan langsung kepada industri strategik negara seperti elektronik, tekstil dan minyak sawit.
“Malaysia tidak boleh mengambil mudah atau terlalu lembut. Malaysia mempunyai hak penuh di bawah peraturan WTO untuk mengenakan tarif balas (retaliatory tariffs) terhadap Amerika Syarikat.
“Jika rundingan tidak berkesan, tindakan tegas dan bermaruah mesti diambil untuk mempertahankan kepentingan nasional dan maruah negara.
“Malaysia tidak boleh dilayan sebagai negara kelas kedua dalam perdagangan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas keputusan Trump yang mengenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.
Ketika mengumumkan perkara itu pad Rabu, Trump berkata, gelombang tarif baharu yang belum pernah terjadi sebelum ini ke atas import dari semua negara yang berdagang dengan AS.
Antara tarif timbal balik yang tinggi dikenakan terhadap China sebanyak 34 peratus, Kesatuan Eropah 20 peratus, Vietnam 46 peratus, Sri Lanka 44 peratus, Kemboja 49 peratus, Laos 48 peratus dan Myanmar 44 peratus.
Hafiz berkata, tindakan AS itu juga mencerminkan sikap tidak menghormati hubungan diplomatik dan perdagangan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
“Malaysia bukan rakan dagang yang baru muncul. Kita adalah rakan strategik lama yang konsisten, komited dan konstruktif kepada pertumbuhan ekonomi serantau dan global.
“Malaysia negara berdaulat. Kita bersahabat dengan hormat, bukan tunduk tanpa syarat,” kata beliau. – Edisi 9

