
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya.
Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat. Para jemaah diingatkan supaya jangan bermain dengan telefon bimbit ketika khutbah disampaikan. Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk ‘Muhasabah Aidilfitri’.
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Hadirnya bulan Syawal dan perginya bulan Ramadan, hendaklah dijadikan sebagai fasa peralihan untuk kita menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik dan bukannya meninggalkan masa yang lalu tanpa membawa perubahan kepada tingkah laku dan amal soleh.
Jika bulan Ramadan merupakan ujian bagi kita dalam menahan nafsu syahwat serta lapar dan dahaga, maka bulan Syawal juga hakikatnya merupakan ujian bagi kita, sama ada kita mampu terus beristiqamah sebagai hamba Allah SWT yang soleh atau sebaliknya.
Jika bulan Ramadhan merupakan proses untuk kita mencapai matlamat menjadi hamba Allah SWT yang bertakwa, sepertimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 183:

”Supaya kamu bertaqwa”
Maka, bulan Syawal adalah waktu untuk menilai hasil usaha kita, apakah kita benar-benar telah menjadi hamba Allah SWT yang bertaqwa atau sebaliknya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Aidilfitri bukan sekadar hari di mana umat Islam kembali menikmati makan dan minum setelah sebulan berpuasa. Lebih daripada itu, ia melambangkan kembalinya seorang hamba kepada Allah SWT dalam keadaan suci, mendapat keampunan dan rahmat-Nya.
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sesiapa yang melaksanakan puasa Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala dan reda daripada Allah), maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah dilakukannya dahulu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Keadaan suci daripada dosa ini hampir menyamai fitrah yang murni dan lurus.
Oleh itu, bulan Syawal seharusnya menjadi medan untuk kita memelihara fitrah ini dengan terus beristiqamah, berpegang teguh kepada ajaran Islam, serta menjauhi segala perkara keji yang boleh menjerumuskan kita ke lembah maksiat dan dosa.
Demikianlah yang diperintahkan kepada Rasulullah SAW, sepertimana dalam ayat dalam surah Ar-Rum ayat 30 yang dibacakan pada awal khutbah yang bermaksud:
“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (Turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya; Tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; Itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.
Ayat ini dengan jelas menegaskan bahawa agama Allah SWT adalah fitrah semula jadi yang telah tertanam dalam diri setiap insan sejak penciptaannya. Oleh itu, fitrah ini harus dipelihara sebaik mungkin agar tetap teguh dalam kebenaran.
Ayat ini juga berkait rapat dengan perjanjian setiap insan di alam roh di hadapan Allah SWT, sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-A‘raf ayat 172:

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.”
Namun, dunia ini adalah medan ujian, di mana setiap manusia akan menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran, terutama godaan hawa nafsu serta tipu daya Iblis dan syaitan.
Ingatlah, Iblis dan syaitan merupakan musuh utama manusia yang tidak pernah berhenti berusaha menyesatkan dan memesongkan umat manusia daripada jalan kebenaran.
Sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis daripada ‘Iyadh bin Himar Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW pada suatu hari menyebut hadis qudsi dalam khutbahnya:

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya Tuhanku telah memerintahkan aku untuk mengajarkan kepada kalian apa yang kalian tidak ketahui daripada apa yang Dia ajarkan kepadaku pada hari ini: Setiap harta yang Aku berikan kepada seorang hamba adalah halal. Dan sesungguhnya Aku telah menciptakan hamba-hamba-Ku dalam keadaan hanif (cenderung kepada kebenaran) semuanya.
“Namun, syaitan telah datang kepada mereka lalu menyesatkan mereka dari agama mereka, mengharamkan atas mereka apa yang telah Aku halalkan bagi mereka, dan memerintahkan mereka untuk menyekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak Aku turunkan keterangan tentangnya.” (Riwayat Muslim)
Hakikatnya, perjuangan melawan hawa nafsu dan tipu daya syaitan tidak terhenti dengan berlalunya Ramadan. Sebaliknya, ia adalah proses berterusan yang menuntut keimanan, ketakwaan dan kesabaran sepanjang hayat.
Oleh itu, jangan sekali-kali terpedaya dengan godaan syaitan, kerana ia hanya membawa kepada kerugian dan penyesalan yang tiada berkesudahan.
Sidang Jumaat yang Berbahagia,
Di sebalik kegembiraan menyambut Syawal, jangan kita lupa bahawa kita baru sahaja melalui madrasah Ramadan yakni bulan yang mengajarkan keinsafan dan ketundukan kepada Allah SWT.
Maka, teruskanlah momentum ini dengan memperkukuh amal soleh seperti solat berjemaah, mengimarahkan masjid dan surau, bersedekah, bertadarus al-Quran, serta amalan lainnya agar roh Ramadan terus hidup dalam diri kita.
Jadikanlah masjid sebagai rumah kedua kita di mana setiap Muslim berhak untuk hadir ke masjid tanpa sebarang halangan atau sekatan.
Raikanlah jemaah yang hadir dengan kasih sayang dan keterbukaan, bukan dengan penghinaan atau penilaian yang merendahkan sesiapa.
Nazir dan Ahli Jawatankuasa masjid memainkan peranan penting dalam mencipta suasana yang mesra dan inklusif di masjid.
Mereka tidak seharusnya memandang rendah kepada mereka yang mungkin hadir hanya sekali-sekala, tetapi sebaliknya perlu menggalakkan dan menarik lebih ramai orang untuk mendekatkan diri dengan masjid.
Isilah bulan Syawal ini dengan amal kebajikan yang berterusan, dimulakan dengan mengamalkan puasa sunat enam hari.
Puasa ini sangat dianjurkan oleh Rasulullah SAW, bahkan Baginda menyebut bahawa kelebihannya menyamai pahala berpuasa sepanjang tahun. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Ansari Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang berpuasa bulan Ramadhan, kemudian diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka yang demikian itu adalah seperti berpuasa selama setahun.” (Riwayat Muslim).
Selain puasa enam, Islam juga menggalakkan amalan mengeratkan silaturrahim dan ukhuwah melalui ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, bersedekah, dan menjamu makan.
Amalan-amalan ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan sesama manusia, malah menjadi bukti keindahan akhlak Islam yang menitikberatkan persaudaraan dan kasih sayang.
Oleh itu, marilah kita manfaatkan bulan Syawal ini sebagai ruang untuk terus memperteguh hubungan dengan Allah SWT dan memperbaiki hubungan sesama manusia, agar keberkatan Ramadhan terus berbekas dalam kehidupan kita.
Hadirin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Mengakhiri khutbah pada hari yang berbahagia ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian:
- Umat Islam hendaklah menjadikan muhasabah diri sebagai satu amalan yang berterusan dalam kehidupan, khususnya setelah menyempurnakan sesuatu ibadah.
- Umat Islam hendaklah sentiasa mengingati dan memelihara perjanjian kita dengan Allah SWT, yakni dengan berpegang teguh kepada agama-Nya sepanjang kita hidup di dunia ini.
- Umat Islam hendaklah memahami bahawa Aidilfitri bukan waktu untuk kembali kepada tabiat buruk yang lama, tetapi ia adalah waktu dan simbol kembalinya seorang muslim kepada fitrah suci, dengan terus beristiqamah dalam kebaikan dan menjauhi maksiat.

“Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan”. (Surah As-Syura: 25)

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor, 4 April 2025

