32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Zahid jadikan PAU 2020 paling ‘bersejarah’

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh MOHAMAD ASRI

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2020 yang baru berlalu kelmarin mungkin menjadi perhimpunan agung paling ‘bersejarah’ dalam sejarah parti paling besar dan tertua di negara ini.

Ada beberapa kesan ‘sejarah’ yang akan kekal tercatat dalam sejarah politik negara daripada perhimpunan ini.

Buat kali pertama dalam sejarah Perhimpunan Agung UMNO, parti-parti pembangkang terselamat daripada menjadi mangsa serangan, belasahan dan kecaman Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ketua tiga sayap parti tersebut dan beberapa perwakilannya yang berucap dan berbahas sepanjang dua hari perhimpunan ‘bersejarah’ itu.

Kecuali tagline No Anwar, No DAP, tidak ada sepatah kecaman ke atas Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sangat berbeza jika dibandingkan dengan sejarah perhimpunan agung parti itu sebelum ini.

Anwar, PKR dan DAP adalah sasaran peluru perwakilan yang ditala bertubi-tubi dari mula perasmian hingga kepada ucapan penggulungan Presiden. Juga sudah tidak kedengaran lagi gelaran cauvinis untuk DAP dan segala gelaran buruk untuk PKR atau Anwar.

Adakah ini mengejutkan? Kalau melihat kepada beberapa rentetan peristiwa yang berlaku menjelang sebelum perhimpunan ini, jawapannya sudah tentu tidak.

Selain Zahid, Tengku Razaleigh Hamzah juga memberi sedikit bayangan tentang kerjasama jajaran baharu melibatkan parti-parti pembangkang terutama PKR dan DAP.

Walaupun berkali-kali Zahid menafikannya, ramai yang masih curiga dengan penafian itu. Malah kenyataan ‘beria-ria’ Anwar tentang kerjasama tersebut menguatkan lagi jajaran baharu politik Malaysia sudah bermula dan bakal menjadi ‘cahaya di hujung terowong’ bagi Zahid.

Ironinya, persidangan tahun ini menjadikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membentuk kerajaan bersama-sama UMNO dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai sasaran serangan bertali arus UMNO.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan sendiri menyifatkan kerajaan PN yang turut dianggotai oleh 14 Menteri dan Timbalan Menteri daripada UMNO sebagai kerajaan paling tidak stabil di dunia!

Selain Bersatu, mesyuarat UMNO tahunan ini juga mencatat sejarah apabila buat pertama kali dalam sejarah seorang Presiden sekadar berani mencabar seorang menteri daripada partinya sendiri meletak jawatan, tetapi tidak berani memecat menteri tersebut sekiranya beliau benar-benar melanggar perlembagaan parti!

Buat pertama kali juga dalam sejarah parti tersebut seorang Presiden tidak berani mengarahkan semua menteri dan timbalan menteri meletak jawatan daripada kerajaan PN yang tidak didukungnya serta-merta sedangkan perhimpunan agung semalam telah memberi mandat sepenuhnya kepada Presiden dan MKT membuat apa sahaja keputusan.

Ketegasan ‘bersejarah’ Zahid ini akan menyaksikan bukan sedikit ahli-ahli UMNO kehilangan jawatan dalam kerajaan kerana selain semua menteri dan timbalan menteri UMNO, mereka juga kehilangan jawatan yang dipegang dalam GLC, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung.

Keadaan ini bagaimanapun dijangka tidak lama. Segala-galanya akan kembali seperti biasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti. UMNO akan kembali semula sebagai kerajaan.

Walaupun Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan yakin parti itu mampu menang antara 70 hingga 80 kerusi bagi membentuk kerajaan, UMNO sebenarnya tidak memerlukan jumlah sebanyak itu.

Cukup dengan hanya 30 hingga 40 kerusi kerana jajaran politik baharu yang melibatkan UMNO-PKR-DAP tidak lagi memerlukan mana-mana parti memiliki kerusi majoriti. UMNO juga sudah tidak memerlukan bantuan kerusi Pas lagi.

Jika ini berlaku, Zahid akan menjadi Presiden UMNO paling bersejarah kerana berjaya membentuk sebuah kerajaan melalui satu kerjasama paling bersejarah melibatkan tiga parti politik yang sebelum ini tidak pernah digambarkan akan bertaut dalam apa juga keadaan.

Tahniah Zahid!

  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan