31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Calitan dubur dimestikan kalau mahu masuk China

Mesti Baca

BEIJING – Walaupun menerima bantahan keras daripada negara-negara lain di dunia, kerajaan China tetap mahu meneruskan kaedah calitan melalui dubur bagi mengesan jangkitan COVID-19 terhadap semua warga asing yang memasuki negara itu.

Memetik laporan The Times UK, hab-hab ujian menggunakan kaedah itu akan dibuka di dua lapangan terbang antarabangsa iaitu di Beijing dan Shanghai.

Kaedah yang dianggap menjatuhkan maruah itu mengambil masa kira-kira 10 saat.

Putik kapas yang yang dibasahkan dengan larutan bergaram dimasukkan ke dalam rektum pada kedalaman antara tiga hingga lima sentimeter dan diputarkan beberapa kali.

Kemudian, putik kapas tersebut disimpan dan dalam bekas ujian sebelum diuji untuk mengesan virus.

Semalam, kerajaan Jepun menyuarakan ‘penderitaan psikologi’ yang dialami rakyatnya setelah disaring dengan menggunakan kaedah yang memalukan itu.

“Beberapa rakyat Jepun melaporkan kepada kedutaan besar kami di China bahawa mereka menjalani ujian calitan dubur, di mana ia mengakibatkan penderitaan psikologi yang besar,” kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Katsunobu Kato dalam sidang media.

Amerika Syarikat (AS) turut membantah penggunaan kaedah tersebut dan menggesa China menghentikannya.

Kelmarin, China bersetuju agar semua diplomat AS dikecualikan daripada disaring melalui kaedah calitan dubur.

Keputusan itu dibuat selepas beberapa anggota pentadbiran Presiden AS, Joe Biden membuat aduan berhubung kaedah berkenaan.

“Jabatan Negara tidak pernah bersetuju dengan kaedah ujian ini dan membuat bantahan secara terus kepada Kementerian Luar China apabila mengetahui sebahagian kakitangan dikehendaki menjalani ujian tersebut,” kata seorang jurucakap.

Beliau menambah, kerajaan China menjelaskan berlaku kesilapan dalam hal itu kerana para diplomat sepatutnya diberikan pengecualian.

China mula melaksanakan kaedah calitan melalui dubur untuk mengesan jangkitan COVID-19 mulai penghujung Januari lalu.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mendakwa kaedah tersebut adalah lebih tepat berbanding calitan pada rongga hidung atau tekak.

Pengarah Jabatan Penyakit Respiratori Hospital You An di Beijing, Li Tong Zeng berkata, kaedah itu mula digunakan selepas kajian menunjukkan virus berada dalam dubur lebih lama daripada di salur pernafasan.

“Jika kita melakukan calitan dubur, ia akan meningkatkan kadar pengesanan pesakit-pesakit yang dijangkiti,” jelasnya kepada Washington Post, Januari lalu.

Ketika itu, calitan dubur hanya digunakan terhadap mereka yang dikuarantin kerana tugas tersebut tidak menyenangkan berbanding calitan pada rongga hidung dan tekak.

China berjaya mengekalkan kadar jangkitan COVID-19 yang rendah di mana hanya 200 kes sahaja yang aktif dalam kalangan 1.4 bilion penduduk ketika ini.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan