25.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Sahruddin jangan dipengaruhi cara PH tadbir Johor

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal tidak sepatutnya dipengaruhi oleh cara beliau mentadbir negeri itu ketika era Pakatan Harapan (PH) dahulu, lebih-lebih lagi dalam menentukan pengisian jawatan ketua kampung dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bendahari UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, ketika itu, pelantikan jawatan-jawatan itu dibuat mengikut kuota parti politik.

Beliau mendakwa, semasa pentadbiran PH selama 22 bulan banyak kampung yang tidak diurus dengan baik kerana ada ketua yang dilantik tinggal di luar kampung, tidak dihormati oleh orang kampung, tidak dapat menubuhkan jawatankuasa kampung, malah ada juga yang tidak bergaul dengan masyarakat.

“Oleh itu, saya ingin menasihatkan supaya PN Johor tidak mempolitikkan isu perlantikan ketua kampung di Johor.

“Kegagalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengetuai kerajaan PH sepatutnya dijadikan pengajaran dalam pentadbiran kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) dan PN,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Baru-baru ini, Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor era PH meluahkan perasaan tidak puas hati berhubung lantikan ketua kampung di negeri itu.

Sahruddin mendakwa lantikan jawatan tersebut seolah-olah dikuasai oleh UMNO dam Barisan Nasional (BN) serta tidak dibincangkan bersama parti-parti dalam kerajaan campuran BN dan PN Johor.

Md Jais menambah, beliau mendapati pelantikan ketua-ketua kampung di seluruh Johor dilakukan secara telus dan terbuka.

Menurut beliau, proses permohonan dilakukan secara terbuka melalui borang yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Johor di semua pejabat daerah.

“Kemudian proses temuduga dilakukan oleh pihak pentadbiran pejabat daerah yang melibatkan semua penghulu mukim.

“Setelah selesai proses temuduga dan pemarkahan, pihak pentadbiran pejabat daerah akan mencadangkan nama-nama calon yang layak kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk dibawa dan diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

“Setelah itu, nama-nama yang telah dipersetujui oleh MMK akan ditawarkan jawatan ketua kampung dan proses terakhir adalah majlis mengangkat sumpah jawatan,” jelasnya.

Md Jais percaya antara kriteria yang melayakkan seseorang itu untuk ditawarkan sebagai ketua kampung adalah penglibatan mereka dalam aktiviti sosial setempat merangkumi aktiviti masjid, surau, sekolah, badan amal dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat.

Beliau berkata, ketua kampung juga sepatutnya tinggal di kawasan kampung tersebut serta yang lebih penting dihormati oleh masyarakat setempat.

“Kriteria ini sememangnya telah sebati dalam kalangan ahli UMNO akar umbi kerana doktrin parti bukan semata-mata berpolitik untuk jawatan tertentu, tetapi lebih mementingkan tanggungjawab menguruskan komuniti.

“Inilah sebabnya di Negeri Johor, UMNO tidak dapat dipisahkan dari institusi masyaraka,” katanya.

Md Jais memberitahu, kaedah pemilihan ketua kampung kali ini menunjukkan ketelusan kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Ir. Hasni Mohamed yang juga Pengerusi BN Johor.

Beliau yakin perlantikan ini tidak berasaskan kepentingan politik semata-mata, tetapi mengambil kira pentingnya kesejahteraan orang kampung di seluruh Johor.

“Saya percaya semua penghulu mukim di seluruh daerah sangat berpengalaman dalam menguruskan kampung-kampung dan mengenali individu yang sesuai untuk menjadi ketua komuniti.

“Namun, yang lebih penting, perlantikan ini telah dipersetujui oleh MMK yang ahli-ahlinya mewakili kedua-dua parti BN dan PN,” ujarnya.

Md Jais turut meminta PPBM supaya tidak mengheret PAS dalam isu tersebut semata-mata untuk merenggangkan hubungan Muafakat Nasional yang dianggotai UMNO dan PAS.

Beliau yakin PAS juga menyedari kekuatannya di Johor untuk menuntut lebih banyak jawatan berkenaan.

“PPBM sewajarnya belajar berpolitik cara Johor. Bangsa Johor tidak mempolitikkan semua perkara demi kepentingan pihak tertentu semata-mata.

“Sejarah kejayaan cemerlang kerajaan negeri Johor yang lalu di bawah pentadbiran UMNO dan BN adalah hasil kerjasama erat antara ahli politik yang menentukan dasar melalui Dewan Undangan Negeri dan MMMK dengan kakitangan kerajaan Johor sebagai pelaksana di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan