26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Majlis Tertinggi UMNO mahu putus kerjasama dengan PPBM

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pendirian UMNO yang menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah bersandarkan kepada keputusan Majlis Tertinggi parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Majlis Tertinggi parti juga berpendapat kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

“Sejak dari awal, UMNO sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina di atas sebuah pakatan atau kerjasama politik yang bertahan lama dan efektif mestilah berteraskan kejujuran dan keikhlasan, demi menjaga kemaslahatan rakyat.

“Justeru, keputusan ini dicapai setelah mengambil kira pandangan akar umbi dan mempertimbangkan secara cermat, buruk baiknya keberadaan dalam Kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, surat daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan pendirian UMNO itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah susulan perjumpaan khas antara UMNO, PPBM dan PAS pada 15 Februari lalu.

Ahmad memberitahu, perjumpaan itu diwakili oleh lima pemimpin tertinggi setiap parti.

Beliau menambah, dalam pertemuan tersebut, Muhyiddin yang juga Presiden PPBM meminta agar UMNO membuat pendirian yang berhubung kedudukan kerjasama dengan partinya.

Ahmad berkata, Muhyiddin meminta UMNO berbuat demikian sebelum sebarang perundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi PRU-15.

“Bagi maksud tersebut, Majlis Tertinggi UMNO telah mengadakan mesyuarat pada Jumaat, 19 Februari 2021 untuk membincangkan lanjut hasrat YAB Perdana Menteri tersebut,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara agar Ahmad Zahid mengutuskan surat kepada Muhyiddin bagi menyatakan keputusan mesyuarat berkenaan seperti yang telah dinyatakan.

Sementara itu, PPBM akan memutuskan pendirian berhubung kerjasama dengan UMNO dalam mesyuarat Majlis Tertingginya petang ini.

Walau bagaimanapun, lokasi dan masa mesyuarat tidak dinyatakan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini.

“Pendirian tersebut akan dibincangkan juga dalam mesyuarat Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan datang bersama parti-parti komponen PN yang lain iaitu PAS, STAR, SAPP dan Gerakan,” katanya.

Beliau menambah, Mesyuarat Biro Politik PPBM petang semalam yang dipengerusikan oleh Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membincangkan berkaitan surat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertarikh 26 Februari lalu.

Surat kepada Muhyiddin itu adalah berhubung keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Janda Baik, Pahang pada 19 Februari lalu.

Hamzah memberitahu, Biro Politik PPBM mengambil maklum keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang menyatakan bahawa tiada kerjasama dengan PPBM dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan kebersamaan dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen. – EDISI 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan