32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Ahmad Zahid saman fitnah Malaysiakini, tuntut RM220 juta

Mesti Baca

CYBERJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah dengan nilai tuntutan RM220 juta terhadap Malaysiakini.

Memetik laporan Suara Merdeka, writ saman setebal 283 muka itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Mac lalu.

Tuntutan tersebut berdasarkan penyiaran 22 artikel dalam Malaysiakini yang dikatakan berunsur fitnah terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Difahamkan, saman berkenaan mempunyai kaitan dengan liputan Malaysiakini tentang perbicaraan kes rasuah melibatkan Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berdepan dengan 47 pertuduhan, 12 daripada membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan berpuluh juta ringgit wang milik Yayasan Akalbudi.

Mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis sebelum 28 Mei 2021 dan mengemukakan jawapan balas pada 11 Jun ini.

Mahkamah turut menetapkan 28, 29, 30 Jun dan 1 hingga 2 Julai ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum memutuskan sama ada bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO itu dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan untuk membela diri.

Seramai 99 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 18 November 2019.

Antara saksi yang dipanggil termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr; bekas pegawai khas Ahmad Zahid, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar; rakan kongsi firma guaman Tetuan Lewis & Co, B Muralidharan; pengurup wang, Omar Ali Abdullah dan bekas Setiausaha Eksekutif kepada Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Sementara itu, memetik laporan Malaysiakini, tuntutan saman tersebut menamakan Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya, Steven Gan serta seorang wartawan sebagai defendan.

Dalam tuntutan saman fitnah itu, pasukan undang-undang Ahmad Zahid berpendapat bahawa beberapa artikel telah salah melaporkan atau memberi gambaran yang salah mengenai prosiding mahkamah, dan menimbulkan gambaran negatif terhadap beliau.

Selain menuntut ganti rugi, Ahmad Zahid juga meminta perintah injunksi untuk melarang penerbitan artikel dan komen pembaca yang memfitnah.

Peguam Ahmad Zahid mengeluarkan surat tuntutan (LOD) terhadap Malaysiakini pada Ogos lalu mengenai artikel dan komen dalam artikel tersebut.

Tuntutan itu difailkan oleh Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq. – EDISI 9

Terkini

Malaysia kecewa kuasa veto diguna halang Palestin anggotai PBB

MALAYSIA menyuarakan rasa bimbang dengan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai...

Lagi Artikel Berkaitan