31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pemuda UMNO, PAS desak Undi18 dilaksanakan segera

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Sayap Pemuda UMNO dan PAS bersependapat bahawa pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik mesti dilaksanakan segera.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan dua langkah tersebut sehingga 1 September 2022 seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah amat mengejutkan dan mengecewakan.

Menurut beliau, Pemuda UMNO berpendapat bahawa keputusan SPR itu seolah-olah tidak menghormati Parlimen sebagai badan legislatif tertinggi negara yang telah bersepakat melebihi dua pertiga Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada Julai 2019.

“Hakikatnya, Pindaan pada Fasal (1) dan Fasal (4) Perkara 119 serta perenggan (b) Perkara 47 dan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan ini adalah komitmen politik yang bersejarah merentasi parti dan bakal memberdayakan lebih 7.8 juta pengundi baharu ke dalam sistem pilihan raya sekaligus menentukan kepimpinan, hala tuju masa negara

“Hakikatnya, kemajuan pantas teknologi komunikasi dan informasi merentas sempadan telah membawa kepada realiti baharu politik semasa dan anak-anak muda kita kini mula cakna akan kekuatan pengaruh mereka serta berani bersuara menyatakan pendapat.

“Sebab itulah keputusan menangguh Undi18 oleh SPR dan kerajaan boleh ditanggapi sebagai suatu tindakan yang menafikan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan untuk anak muda.

“Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO mendesak agar kerajaan mengotakan janji bagi memenuhi komitmen garis masa perlaksanaan Undi18 pada Julai 2021,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

dilaksanakan

Semalam, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.

SPR juga bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Asyraf Wajdi menambah, bagi tujuan merealisasikan hasrat itu, kerajaan harus menyediakan segala kemudahan yang diperlukan termasuk sumber-sumber yang mencukupi dari segi kewangan, koordinasi merentas agensi dan menambah tenaga kerja.

“Amat tidak wajar untuk berselindung di sebalik alasan COVID-19 setiap kali kerajaan gagal atau tidak dapat memenuhi tuntutan demokrasi dan kehendak rakyat termasuk yang terbaru perlaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik,” jelasnya.

Undi18

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya konsisten dengan pendirian bahawa Undi18 mesti dilaksanakan bersama pendaftaran pemilih automatik mengikut garis masa yang dirancang.

“Justeru Pemuda PAS menawarkan diri untuk menghulurkan kerjasama dengan semua agensi kerajaan yang terlibat bagi memastikan persediaan menyeluruh dalam mempercepatkan proses ini.

“Besar harapan kami agar semua anak muda berusia 18 tahun ke atas dapat menjalankan hak dan tanggungjawab sebagai pemilih dalam Pilihanraya Umum akan datang. Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi menjayakan hasrat ini,” jelasnya. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan