25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

6 pemancing yang hanyut ditemukan selamat

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Enam pemancing yang gagal dihubungi sejak 23 Mac lalu, selepas keluar ke laut telah ditemukan selamat sekitar pukul 8.30 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, mereka bersama bot dijumpai hanyut oleh komuniti nelayan pada jarak kira-kira 50 batu nautika utara dari Pulau Tioman.

Menurut beliau, pesawat udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) AS365N3 Dauphin yang melaksanakan tugas pencarian melalui udara di sekitar 8 batu nautika dari Kuala Kuantan telah mengesan bot pemancing yang sedang ditunda oleh sebuah bot nelayan pada jam 11.20 pagi, dan terus menghubungi bot Maritim Malaysia ke lokasi untuk membantu serta mengiringi mereka masuk ke Kuantan.

“Mangsa ditemukan selamat tanpa sebarang kecederaan dengan memakai jaket keselamatan serta bot dipercayai mengalami kerosakan pada bebaling kipas.

“Kesemua mangsa yang diselamatkan dibawa menaiki Kilat 49 ke Jeti PPM Kuantan untuk pemeriksaan kesihatan sebelum dihantar ke Zon Maritim Kemaman dan dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.

“Manakala bot TRF 366 yang mengalami kerosakan ditunda masuk ke Jeti PENERPA,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bot yang dinaiki enam pemancing terbabit ditunda ke Jeti PENERPA. – Gambar: Maritim Malaysia

Sementara itu, Rashidilhadi berkata, Cawangan Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan telah menamatkan operasi mencari dan menyelamat setelah menerima pengesahan bahawa kesemua mangsa ditemukan selamat.

Beliau menambah, kesemua mereka yang berasal dari Terengganu itu memaklumkan turun ke laut bagi tujuan memancing namun bot mengalami kerosakan pada bebaling kipas menyebabkan mereka tidak dapat pulang seperti yang dijadualkan tiga hari lepas.

“Bot mereka naiki berapung dan hanyut dibawa arus sebelum ditemui oleh bot nelayan tempatan, PAF 4819 dari Jeti Persatuan Nelayan Pahang (PENERPA), Pahang,” jelasnya.

Pencarian hari ini melibatkan sebuah bot, kapal dan aset udara Maritim Malaysia iaitu Kilat 49, KM PEKAN dan AS365N3 Dauphin.

Maritim Malaysia menasihatkan agar semua komuniti maritim peka dengan keadaan cuaca serta membawa peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan dan peranti personal locator beacon (PLB) adalah penting dalam menyelamatkan nyawa.

Peralatan ini merupakan keperluan yang tinggi ketika ke laut, lebih-lebih lagi ketika berlaku kecemasan.- EDISI 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan