31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Ever Given masih terkandas, kapal lain terpaksa melencong

Mesti Baca

KAHERAH – Beberapa kapal mula melencongkan pelayaran mereka untuk mengelakkan laluan Terusan Suez di Mesir yang disekat oleh kapal kargo Ever Given yang terkandas.

Memetik laporan The Independent, kapal-kapal terbabit berlayar mengelilingi Tanjung Harapan di Afrika Selatan.

Perjalanan dari Asia ke Eropah mengelilingi lokasi paling hujung di benua Afrika itu mengambil masa yang lebih lama.

Namun, pemilik-pemilik kapal berpandangan langkah itu adalah lebih baik daripada menunggu kapal kargo Ever Given diapungkan semula di Terusan Suez.

Pada masa ini, menurut pakar Lloyds List Intelligence, sebanyak 248 kapal tersangkut gara-gara Ever Given tersangkut merentangi Terusan Suez sejak Selasa lalu.

Ever Given merupakan kapal kargo yang didaftarkan di Panama dan dikendalikan oleh syarikat Evergreen dari Taiwan serta dimiliki oleh syarikat Jepun, Shoei Kisen KK.

Kapal sepanjang 1,312 kaki dan seberat 200,000 tan itu terkandas semasa ribut pasir melanda kawasan berkenaan.

Ever Given bukan kapal pertama yang terkandas sehingga menghalang laluan di Terusan Suez.

Pada 2004, kapal tangki Tropic Brilliance tersangkut selama tiga hari dan diikuti oleh kapal berdaftar di Hong Kong, Okal King Dorin serta kapal kargo dari Britain pada 2006.

Insiden terbaharu berlaku pada 2017 di mana kapal OOCL dari Jepun menghalang laluan selama beberapa jam.

Sebelum ini, pakar-pakar keselamatan menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan berlaku serangan lanun dan sabotaj bermotif politik terhadap kapal-kapal yang masih terkandas di kawasan yang paling berisiko tinggi di dunia iaitu timur Mediterranean dan Tanduk Afrika.

Sementara itu, Bloomberg melaporkan, lencongan yang diambil oleh kapal-kapal lain yang membawa kargo dan komoditi boleh mencetuskan inflasi di seluruh dunia.

Harga gas asli telah meningkat dan rantaian bekalan makanan mungkin terjejas jika Terusan Suez masih tersekat.

Pemilik Seabay International Freight Forwarding Ltd yang berpusat di China, Mark Ma berkata, keadaan akan menjadi sangat buruk jika laluan air itu tidak dibuka dalam masa seminggu.

Kira-kira 20 hingga 30 kapal kargo milik syarikatnya terkandas akibat insiden berkenaan.

Sebuah kapal korek telah dihantar ke lokasi untuk melepaskan kapal Ever Given.

Terusan Suez merupakan laluan air yang penting di dunia dan 12 peratus daripada barangan yang diperdagangkan dihantar menggunakan laluan tersebut. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan