30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Tiada Pelan B, UMNO mesti menang PRU-15 – Tok Mat

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai pilihan lain melainkan perlu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hanya kemenangan sahaja dapat mengembalikan maruah parti yang tewas dalam pilihan raya yang lalu.

Ketika berucap merasmikan Perhimpunan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO hari ini, beliau berkata, PRU-15 adalah peluang terdekat dan terbesar UMNO untuk kembali menjadi kerajaan dan mentadbir negara.

“Maka, pilihan raya ini adalah perkara yang sangat mustahak. Hanya dua kemungkinan yang ada. Sama ada kita menang dan memerintah, atau kita sekali lagi menjadi pembangkang dan diperkotak-katikkan!

“Yang pasti. Kita tiada Pelan B atau apa-apa pelan lain pada waktu ini. We must Win!,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bagaimanapun, Mohamad menegaskan, untuk bangkit daripada kekalahan dan mencipta kemenangan perlu diusahakan dengan sikap dan mentaliti yang betul untuk menang.

Beliau berkata, untuk mencapai hasrat tersebut UMNO tidak boleh terkeliru tentang siapa musuh sebenar kerana menghadapi musuh nyata lebih mudah berbanding menentang musuh tersembunyi.

“UMNO sepatutnya sudah tahu siapa mereka, walaupun tanpa perlu untuk disebutkan di sini. Cuma, beringatlah, musuh kita amatlah licik dan sanggup berbuat apa sahaja untuk memusnahkan kita,” katanya.

Pada masa yang sama, UMNO mesti menguruskan mereka yang berpura-pura mendukung parti tetapi jiwa mereka sebenarnya telah dibeli dengan murah.

Advertisements

Mereka ini, tambah beliau, masih memerlukan UMNO untuk bernaung, tetapi cinta dan hati mereka sudah kepada orang lain.

“Mereka telah digelapkan dengan kesenangan yang bersifat kebendaan. Pada mereka, UMNO tidak lebih dari sekadar tunggangan. Bila kuat, mereka dekat. Bila lemah, mereka mengalah.

“Ingat, UMNO ini bukan dayus. Sesiapa yang curang dan khianat, wajar ditinggalkan selama-lamanya,” tegasnya.

Selain itu, UMNO juga mesti menegaskan kembali bahawa sesiapa yang memusuhi orang Melayu dan Islam adalah musuh parti tersebut..

“Selagi mereka tidak melepasi batas ini, UMNO sangat terbuka untuk meneroka segala jalan kerjasama yang ditawarkan,” katanya.

Mohamad berkata, untuk menang, UMNO juga perlu kerja keras dan tidak hanya terlalu asyik serta fokus dengan perbincangan politik dalam media sosial seperti Whatsapp dan Facebook sahaja.

Tambahnya, perbahasan dalam media sosial tidak akan membawa UMNO ke mana-mana sebaliknya perlu menyantuni isu, menyelesaikan masalah serta bebanan rakyat.

“Santunilah semua anggota masyarakat. Pengundi dan bukan pengundi. Melayu dan bukan Melayu. Santuni semua. Kerana UMNO adalah parti khidmat dan amal bakti untuk semua.

“Inilah sifir dan formula yang menjadikan kita pemerintah selama 60 tahun iaitu amal dan usaha kita. Gandakan khidmat dan bakti kita. Lebih-lebih lagi dalam kegawatan ekonomi negara waktu ini,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan