30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

27 penumpang maut bas terjunam masuk gaung

Mesti Baca

JAKARTA – Sekurang-kurangnya 27 penumpang maut selepas sebuah bas yang membawa pelajar-pelajar sebuah sekolah menengah agama, guru dan ibu bapa terjunam ke dalam gaung di Sumedang, Jawa Barat, malam tadi.

Memetik laporan media tempatan, 39 penumpang dipercayai cedera dalam kemalangan yang dipercayai berpunca akibat masalah brek pada bas berkenaan.

Bas yang membawa 66 penumpang itu dikatakan melalui jalan yang gelap dan berliku sebelum terjunam ke dalam gaung.

Pihak berkuasa Indonesia berkata, pasukan penyelamat menggunakan kren bagi mengeluarkan mangsa-mangsa dan mereka bekerja sepanjang malam.

Ketua polis di kawasan berkenaan, Eko Prasetyo Robbyanto berkata, bas terbabit dalam perjalanan pulang dari satu lokasi di Tasikmalaya ke Subang di Jawa Barat.

Menurut beliau, tiba-tiba pemandu bas dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan itu terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter.

Eko berkata, mangsa yang terselamat memberitahu pihak berkuasa bahawa brek bas terbabit tidak berfungsi.

Polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan.

Dalam pada itu, Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Bandung, Deden Ridwansah memberitahu, 27 mayat dan 39 mangsa tercedera dibawa ke hospital serta klinik kesihatan berdekatan.

Beliau menambah, mayat seorang budak lelaki ditemukan tersepit di bawah bas yang terbalik dan kenderaan itu berjaya ditarik keluar pagi tadi.

Ridwansah turut mengesahkan pemandu bas ialah salah seorang daripada mangsa yang maut.

Selain itu, katanya, 13 mangsa pula cedera parah.

Polis dan anggota Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) menjalankan kerja-kerja mencari dan memindahkan mangsa yang cedera serta mayat ke dalam ambulans.

Laporan televisyen di Indonesia turut memaparkan suasana sedih di Hospital Umum Sumedang di mana waris-waris mangsa menunggu maklumat tentang ahli-ahli keluarga masing-masing atau mengecam mayat mangsa.

Nahas melibatkan bas seperti itu sering berlaku di Indonesia ekoran standard keselamatan yang rendah dan infrastruktur jalan yang buruk.

Sebelum ini, pada Disember 2019, seramai 35 penumpang maut dalam nahas membabitkan sebuah bas yang terhumban ke dalam gaung sedalam 80 meter seterusnya kenderaan itu dibawa arus deras sungai di Pulau Sumatera.

Pada awal 2018, seramai 27 penumpang maut setelah bas pelancong yang penuh dengan penumpang terjunam di kawasan berbukit dekat Jawa Barat.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan