27.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Tak perlu potong gaji Ahli Parlimen, Senator semasa Darurat

Mesti Baca

CYBERJAYA – Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim menegaskan, gaji dan elaun Ahli Parlimen dan Senator tidak perlu dipotong walaupun Parlimen tidak bersidang sejak Proklamasi Darurat diisytiharkan oleh kerajaan.

Menurut beliau, mereka tetap menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di luar dewan seperti biasa.

Rais berkata, jadi, tidak timbul isu Ahli Parlimen atau Senator tidak bekerja semasa Parlimen tidak bersidang.

“Soal YB (Yang Berhormat) tak buat kerja tak timbul kerana 22 Ahli Parlimen (Dewan Rakyat) dan 66 orang (Senator) di Dewan Negara menjalankan kerja di luar dewan, bukan di dalam dewan.

“Ini harus diterima. Jika ini tak dapat kita gambarkan, maka salah tanggapan itu.

“Oleh itu tugas mereka di luar dewan terus berjalan. Tidaklah wajar dipotong elaun atau gaji kecuali mereka sendiri mengatakan ‘Potonglah gaji saya sekian banyak’. Ini soal perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Signifikan Parlimen Dalam Pembinaan Negara Bangsa’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Terdahulu, seorang pemanggil bertanya mengenai kewajaran Ahli Parlimen dan Senator Dewan Negara menerima gaji dan elaun sedangkan Parlimen tidak bersidang semasa Darurat.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan terhadap pelaksanaan Darurat sehingga 1 Ogos depan bagi membendung penularan COVID-19 di Malaysia.

Namun, baru-baru ini, Istana Negara dalam satu kenyataan menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa Darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Rais menambah, selain bertugas menghadiri sidang Parlimen, Ahli Parlimen dan Senator juga bertemu rakyat untuk menyalurkan bantuan daripada kerajaan kepada mereka.

Sementara itu, beliau menolak tanggapan bahawa Dewan Negara hanya sekadar sebuah institusi yang meluluskan undang-undang di Dewan Rakyat atau rubber stamp.

Rais memberitahu, Dewan Negara pernah menolak beberapa rang undang-undang yang sebelum itu diluluskan oleh Dewan Rakyat seperti RUU Racun Makhluk Perosak pada 2004 dan pindaan Akta Antiberita Tidak Benar pada 2018.

“Kalau Dewan Negara tak lulus di bawah Perkara 66 dan lain-lain, maka huru-hara dan negara tak ada undang-undang.

“Persepsi itu perlu dibetulkan. Saya akan cuba berperanan dengan rakan-rakan supaya imej itu dapat kita kembalikan dan terletak hendaknya ke persada bangsa dan negara,” jelasnya.

Seorang lagi ahli panel, pakar perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, Dewan Negara mempunyai kepentingan termasuk berfungsi menjaga kepentingan negeri-negeri dalam Malaysia..

Menurut beliau, dua Ahli Dewan Negara dilantik mewakili setiap negeri untuk menjaga isu-isu kebajikan negeri.

“Selain itu, ia juga bagi menjaga kelompok kumpulan tidak diwakili oleh Dewan Rakyat seperti wakil Orang Asli, etnik Sabah dan Sarawak yang tidak menang atau tidak bertanding dalam pilihan raya,” ujarnya.

Sehubungan itu, Shamrahayu berkata, adalah tidak wajar untuk mempertikaikan fungsi Dewan Negara.

Beliau juga berpandangan, rakyat kurang didedahkan tentang kepentingan institusi tersebut.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan