24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Anggota wanita APM, Nor Hezlina Nazrin maut diheret kereta

Mesti Baca

KUALA LANGAT – Seorang anggota wanita Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Nor Hezlina Nazrin, maut selepas diheret kira-kira 50 meter dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 36, Jalan Klang – Banting – Port Dickson tengah malam tadi.

Memetik laporan BH Online, mangsa yang berumur 19 tahun cedera parah pada kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman.

Menurut beliau, motosikal yang ditunggang Nor Hezlina dari arah Banting menghala ke Morib dipercayai dilanggar oleg sebuah kereta jenis Proton Wira dari belakang.

“Selepas dilanggar dari belakang oleh Proton Wira terbabit, motosikal mangsa termasuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah Kia Spectra dan sebuah Proton Wira yang datang dari arah bertentangan.

“Pada masa sama, Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berumur 19 tahun itu turut melanggar sebuah Proton Satria yang berada di sebelah kirinya.

“Proton Wira terbabit dipercayai mengheret mangsa ke kanan jalan sejauh kira-kira 50 meter ke hadapan,” katanya.

Azizan menambah, siasatan polis mendapati pemandu salah sebuah Proton Wira terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan tidak bekerja.

Beliau memberitahu, semua saksi berumur antara 19 hingga 26 tahun yang terlibat dalam kemalangan tersebut tidak cedera.

Azizan berkata, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut.

Advertisements

“Saksi bebas yang melihat kemalangan juga dapat dikesan dan dirakam percakapan.

“Rakaman percakapan saksi bebas adalah konsisten dengan siasatan pegawai penyiasat kes manakala pemandu Proton Wira yang melanggar mangsa sudah diambil sampel darah di Hospital Banting, untuk dianalisis di Jabatan Kimia,” jelasnya.

Beliau menambah, polis juga sedang menyiasat kemungkinan berpunca daripada kereta yang berlumba.

“Siasatan ke atas saksi yang tahu mengenai kejadian ini masih berjalan.

“Siasatan lanjut mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan,” ujarnya.

Azizan berkata, mayat Nor Hezlina dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

Kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

nor hezlina

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan menempatkan bersama hamba-Nya yang beriman,” katanya.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan