25 C
Kuala Lumpur
Monday, October 18, 2021

Tiga ADUN bertukar parti, PKR dan Amanah mula berbalah

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah di Johor menyertai PKR mula mencetuskan perbalahan melibatkan kedua-dua parti itu.

Memetik portal Malaysiakini, Pemuda Amanah menuntut agar PKR tidak bersikap hipokrit dan lidah bercadang semasa menguruskan isu wakil rakyat melompat parti dalam kalangan komponen Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, amalan itu jika diterima jelas menguntung satu pihak saja dan pada masa sama merugikan parti lain.

“Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melaksanakan tekad bersama untuk menolak budaya lompat parti sesama komponen yang jelas menguntungkan satu pihak dan merugikan pihak yang lain. Politik tikam belakang ini usah dibudayakan.

“Sebagai rakan gabungan dalam PH, menerima penyertaan wakil-wakil rakyat ini hanya akan menyebabkan hubungan antara parti renggang dan keruh pada kemudian hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga ADUN terbabit ialah Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota).

Tahun lalu dua ADUN Amanah Selangor – Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Ahmad Mustain Othman (Sabak) – turut mengambil langkah serupa.

Shazni Munir berkata, amalan membeli dan menjual wakil rakyat merupakan budaya bobrok yang hina lagi keji.

“Bahkan persundalan ini jugalah yang menyebabkan kerajaan PH runtuh dan merencatkan proses reformasi urus tadbir yang sedang berjalan ketika itu,” katanya.

Apa yang berlaku, katanya, bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail semalam yang jelas menyebut bahawa parti berkenaan menolak tindakan lompat parti untuk melemahkan mana-mana parti dalam blok pembangkang.

Baca juga:   Shahril pelik Wan Saiful seolah-olah galak lompat parti
Baca juga:   Ringgit bukan mata wang terindah di dunia?

“Namun ironinya, pada tarikh berkenaan jugalah dilaporkan PKR telah menerima wakil rakyat yang melompat di Johor setelah bantahan dalaman kami suarakan rentetan kejadian sama berlaku di Selangor sebelum ini,” katanya.

Sementara itu Amanah Bukit Bintang menggesa pemimpin parti itu mengkaji semula pendirian bekerjasama dengan PKR serta kedudukan mereka dalam PH.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Amanah Bukit Bintang berkata kajian semula itu perlu selepas PKR menerima lima Adun mereka termasuk dua di Selangor pada tahun lalu.

Menurut Amanah Bukit Bintang senario itu mengeruhkan lagi hubungan serta mencalarkan semangat setia kawan antara parti dalam PH.

“Kami juga menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, menyesali tindakan parti rakan PH menerima Adun Amanah yang melompat. Tindakan ini melambangkan tiada kesepakatan dalam gabungan yang dibentuk,” katanya.

Strategi politik parti PH, kata Amanah Bukit Bintang, sepatutnya berteraskan pembelaan nasib rakyat yang terkesan atas kecelaruan pengurusan kerajaan Perikatan Nasional keabsahannya belum dipastikan.

“Bukannya menzalimi rakan parti dalam pakatan ketika semua pihak mengadakan persiapan menghadapi PRU ke-15,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Setiausaha Pemuda PKR (AMK) Syukri Razab menyarankan supaya Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub bermuhasabah diri dan menjauhi sikap politik bermuka-muka seperti parti lamanya – Pas.

“Salahuddin kelihatan begitu ‘terusik’ apabila PKR menerima penyertaan mantan ahli Amanah, lalu Salahuddin sifatkan PKR sebagai tidak hormat semangat PH.

“Bagaimana pula sikap Salahuddin sendiri yang masih akrab dengan kelompok yang tidak pun mahu bersama dalam gabungan PH, malah kerap menyerang Presiden PKR (Anwar Ibrahim) secara terbuka?

Baca juga:   CUEPACS sokong penjawat awam potong elaun

“Salahuddin perlu bermuhasabah diri dan menjauhi sikap parti lama beliau yang gemar bermain politik bermuka-muka atau politik dua kolam – mahu bersama PKR tapi dalam masa yang sama masih tidak mahu keluar daripada kelambu Tun M (Dr Mahathir Mohamad),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas kenyataan Salahuddin, Syukri berpandangan adalah “lebih tidak manis” bagi Ahli Parlimen Pulai itu beranggapan tindakan hijrah tiga ADUN Amanah ke PKR secara negatif, kerana mereka bukan menyertai Bersatu, UMNO atau Perikatan Nasional.

Mengulas lanjut, Syukri berkata Salahuddin sewajarnya berterima kasih kepada PKR kerana memberi pilihan alternatif kepada tiga adun tersebut untuk terus setia bersama PH.

Baca juga:   Sultan Johor hargai bekalan tambahan 2 juta dos vaksin

“Apakah Salahuddin mahu PKR menolak penyertaan tiga ADUN ini dan membiarkan mereka membeku dalam Amanah sedangkan jiwa mereka sudah tidak lagi bersama Amanah?” soalnya.

Beliau turut menyifatkan Salahuddin seperti sedang keliru untuk membezakan antara rakan dan musuh berikutan kenyataannya itu.

Syukri menambah, Salahuddin boleh menyerang PKR jika parti itu menjalinkan hubungan dengan Pas, memandangkan Pas merupakan seteru politik Amanah.

Namun menurutnya, ia tidak berlaku sama sekali kerana PKR menghormati pendirian Amanah dan perkara yang sama perlu dilakukan oleh Amanah dengan tidak menjalankan hubungan dengan seteru PKR.

“Saya percaya sikap bermain dua kolam ini sedang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan ahli Amanah sendiri. Mungkin inilah yang menyebabkan berlakunya hijrah ahli Amanah ke dalam PKR yang dilihat lebih jelas dan tegas atas prinsip. Justeru Salahuddin Ayub wajar bermusabah dan insaf sebelum menyerang PKR,” katanya.

Terkini

Muzakarah khas bincang SOP rapatkan saf solat berjemaah – Idris

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah untuk mengatur satu muzakarah khas untuk membincangkan prosedur operasi standard (SOP) bagi...

Lagi Artikel Berkaitan