KUALA LUMPUR – PKR menerima tamparan hebat apabila dua ahli Parlimen parti itu yang mengisytiharkan keluar parti hari ini menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui catatan dalam Facebook beliau berkata, akuan bersumpah oleh Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon itu ditandatangani dan diserahkan kepada beliau selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya.
“Alhamdulillah, sokongan ini tentunya akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan untuk mengurus pandemik COVID-19 serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara,” katanya.
Semalam, media melaporkan Larry Sng meletak jawatan sebagai pengerusi PKR Sarawak serta kedudukan lain dalam parti itu.
Keputusan itu dibuat dalam pertemuan biro politik parti berkenaan yang diadakan melalui aplikasi Zoom pada 26 Februari sebelum membuat penegasan sekali lagi semasa mesyuarat peringkat negeri semalam.
Pada Disember tahun lalu, Larry Sng mengumumkan, beliau akan meletak jawatan sebagai pengerusi PKR negeri kerana parti itu perlu diketuai oleh pemimpin berketurunan Dayak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12.
Namun, beliau memutuskan untuk kekal sebagai pengerusi interim beberapa hari kemudian, setelah mesyuarat dengan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mengambil alih jawatan sebagai pengerusi interim PKR Sarawak selepas Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian keluar parti tahun lalu.
Keputusan dua Ahli Parlimen tersebut memungkin PKR kini hanya memiliki 37 kerusi di Dewan Rakyat manakala DAP (42) dan Amanah (11).
Dalam reaksi melalui klip video, Larry Sng berkata, keputusan meninggalkan PKR dan menyokong Perikatan Nasional PN adalah demi memenuhi aspirasi pengundi serta menunaikan janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Katanya, berkata ini keputusan itu dibuat selepas melihat prestasi PN yang berada di landasan yang betul.
“Selepas berbincang dengan ahli kawasan serta penyokong saya, kami percaya ia keputusan baik demi Julau yang merupakan kawasan paling miskin dalam negara ini, seiring dengan aspirasi kerajaan hari ini.
“Jadi kita boleh memenuhi janji yang dibuat semasa PRU dan memberi kehidupan yang lebih baik kepada mereka,” katanya.
Justeru, katanya ini merupakan masa terbaik dalam memberi sokongan kepada PN selain beliau turut berharap lebih banyak pemimpin pembangkang lain melakukan perkara sama.
Steven pula berkata sokongan kepada PN akan memudahkan beliau melakukan tugas demi pembangunan selain menyelesaikan masalah rakyat di kawasannya.
“Jadi sebab itu saya berbincang dan saya dapat keyakinan dan pengesahan daripada kerajaan PN yang mana semua menteri akan memberi peluang dan masa untuk berjumpa dengan saya kalau saya ada isu rakyat dan mencari penyelesaian.
“Saya harap dengan pengesahan yang saya dapat dari Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, ia akan beri peluang kepada saya untuk bawa isu rakyat dan menyelesaikannya,’’ katanya. – Edisi 9