30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Majikan patut main peranan lebih besar bantu bakal pekerja

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Para majikan di negara ini seharusnya memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu usaha kerajaan menjayakan inisiatif dan insentif untuk bakal pekerja.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan berkata, walaupun masih banyak majikan yang berdepan pelbagai kerenah sikap pekerja tempatan seperti memilih kerja, tidak kekal lama bekerja dan banyak lagi, itu bukanlah alasan untuk majikan mendesak kerajaan membenarkan kemasukan pekerja asing dalam suasana pandemik COVID-19 sekarang.

Menurut beliau, majikan diminta memainkan peranan dalam menyebarluaskan inisiatif yang kerajaan sediakan untuk bakal pekerja.

“Sikap meletakkan segalanya kepada kerajaan dan mengharapkan insentif semata-mata perlu dikikis.

“Terdapat banyak ruang dan peluang kepada majikan untuk mendapatkan sumber pekerja jika bersedia berkolaborasi dengan pelbagai pihak di lapangan,” katanya dalam kenyataan media, baru-baru ini.

majikan pekerja
MOHAMMAD RIZAN HASSAN

Mohammad Rizan mengulas tentang kejayaan seramai 150,597 pencari kerja mendapat pekerjaan melalui 12 program yang dilaksanakan kerajaan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga Majlis Pekerjaan Negara (NEC) pada 4 Mei lalu.

Beliau menambah, majikan juga perlu tampil dan berperanan sebagai pusat latihan kepada golongan belia NEET (Not in Employment, Education and Training) yang tidak berpeluang mendapatkan latihan di institusi latihan.

“Kesediaan majikan mengeluarkan sedikit kos memberi latihan dalaman seterusnya menyediakan pekerjaan akan lebih meningkatkan bilangan pencari kerja mendapat pekerjaan di negara ini.

“Tidak salah kalau kos mendapatkan pekerja asing yang tinggi itu dapat di peruntukkan kepada membina bakat tempatan dengan acuan majikan itu sendiri,” jelasnya.

Mohammad Rizan berkata, inisiatif dan insentif yang disediakan kerajaan perlu direbut oleh masyarakat khususnya golongan belia dan dimanfaatkan oleh majikan yang akhirnya akan memberikan kesejahteraan ekonomi dan sosial yang baik kepada semua.

Beliau memberitahu, pada masa yang sama, majikan juga diminta lebih memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja benar-benar terjamin.

“Kewujudan banyak kluster tempat kerja dalam penularan COVID-19 ini membuktikan ada majikan yang hanya mementingkan keuntungan dan tidak sensitif kepada perkembangan semasa.

“Sikap begini hanya akan merugikan majikan itu sendiri jika tindakan undang-undang diambil oleh kerajaan dan ia tersebar luas dalam kalangan masyarakat,” katanya. – EDISI 9

Terkini

IJM Land bantu ringankan beban enam keluarga sambut Syawal

IJM Land Berhad baru-baru ini menyampaikan sumbangan kepada enam keluarga kurang bernasib baik bagi meringankan beban mereka terutama dalam...

Lagi Artikel Berkaitan