CYBERJAYA – Menteri Pertahanan (Kanan), Datuk Seri Ismail Sabri dinasihat agar ‘berehat’ seketika sebagai jurucakap kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas setahun melaksanakan tugas tersebut.
Nasihat itu datangnya dari bekas bos beliau sendiri semasa kerajaan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga bekas Perdana Menteri.
Menurut Najib, adalah tidak adil menyerahkan tugas mengumumkan keputusan MKN dibuat oleh Ismail Sabri seorang, sedangkan ia sepatut juga diberi peluang kepada menteri kanan lain.
“Ismail Sabri Yaakob, sudah lebih setahun kamu ditugaskan sebagai jurucakap bagi keputusan MKN. Tak penat ke?
“Saya rasa ini tidak adil dan peluang perlu diberikan kepada ahli-ahli MKN yang lain seperti menteri kanan paling kanan untuk menjadi jurucakap MKN pula. Janganlah bolot tanggungjawab ini seorang diri.
“Berilah peluang kepada depa (mereka) untuk masuk kaca TV tiap-tiap hari. Masih boleh pegang jawatan Menteri Pertahanan tapi boleh rehat sebagai jurucakap MKN,” katanya dalam Facebook hari ini.
Nasihat Ahli Parlimen Pekan itu dipercayai kerana beliau simpati dengan Ismail Sabri yang menjadi mangsa ‘serangan’ orang ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh MKN berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang dilaksanakan di beberapa negeri dan daerah.
Ini berikutan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak mengumumkan PKP secara sekali gus di seluruh negara di samping pengumuman yang dibuat pula di saat-saat akhir.
Najib berkata, pada bulan Mac dan April, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dua kali memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan lagi PKP secara menyeluruh.
“Dengan itu, kerajaan pun umum PKP secara satu persatu. Mula-mula Sabah, lalu Kelantan, Kedah, Terengganu, Selangor, Johor, Perak, Pulau Pinang, Pahang dan seterusnya.
“Lalu, diumumkan larangan rentas negeri dan daerah buat seluruh Malaysia masa raya. Jika dibuat cara berdikit-dikit macam ini, tak nampak sangat janji kerajaan PN telah dicapatikan,” sindir Najib.
Bekas menteri Kabibet, Datuk Seri Salleh Said Keruak turut mempersoalkan keputusan kerajaan PN yang dilihat ‘caca-marba’ apabila setiap menteri membuat pengumuman yang berbeza.
Katanya, ia berkaitan dengan kawasan premis di bawah Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) sehingga menimbulkan keresahan kepada orang ramai, terutama di Sabah.
Ini kerana, katanya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengatakan premis HIDE tidak perlu ditutup, namun kenyataan Ismail Sabri berbeza sama sekali dengan arahan penutupan premis berkaitan selama 3 hari berkuatkuasa serta-merta.
“Bagi Sabah, saya risau kegagalan komunikasi seperti begini menimbulkan kesusahan kepada peniaga dan rakyat yang merebut peluang ekonomi sedia ada menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Saya berharap kekeliruan ini ditangani dengan segera,” katanya menerusi hantaran dalam Facebooknya hari ini. – Edisi 9