24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tiga elemen penting tiada dalam buku Sejarah Tingkatan 4

Mesti Baca

Kekejaman komunis dan perjuangan UMNO tuntut kemerdekaan tidak dimasukkan

BEKAS Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mencadangkan agar buku teks Sejarah Tingkatan Empat dikaji semula dan dibawa ke Kabinet untuk dibincang dan diluluskan.

Menurut beliau, ini berikutan terdapat tiga elemen penting tidak dimasukkan sehingga mencetuskan kontroversi seolah-olah mengangkat komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Memetik laporan BH Online, beliau berkata, tiga elemen tersebut iaitu mengenai kekejaman komunis, pasukan keselamatan yang terkorban ketika menentang komunis dan perjuangan UMNO yang menuntut kemerdekaan.

“Elemen pertama, menerusi kandungan buku berkenaan, komunis digambarkan sangat sederhana dan tidak diceritakan kekejaman komunis.

“Hanya diceritakan parti komunis berjuang menentang penjajah dan Jepun sedangkan elemen asal komunis berkaitan kekejaman tidak ada dalam buku berkenaan.

“Kedua, pasukan keselamatan seperti polis dan tentera yang terkorban dalam berjuang menentang komunis juga tidak dinyatakan.

“Ketiga, penubuhan parti Perikatan, MCA ada dinyatakan, namun parti UMNO yang menuntut kemerdekaan tidak dinyatakan langsung,” katanya di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Mahdzir yang juga Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, walaupun buku teks tersebut disusun ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan, namun diluluskan ketika Parlimen sudah dibubarkan.

Advertisements

Jelas beliau, buku tersebut diluluskan oleh jawatankuasa yang mengkajinya pada 24 April 2018 iaitu ketika kerajaan sementara berikutan Pilihan Raya Umum Ke-14 diadakan pada 8 Mei 2018.

“Ketika itu, saya jadi menteri tetapi tarikh berkenaan adalah dikira kerajaan sementara kerana dalam tempoh berkempen.

“Saya sendiri sudah tidak masuk ke pejabat dan menteri ketika itu adalah penyandang sebelum UMNO kalah pada PRU berkenaan,” katanya.

Isu kandungan buku teks Sejarah Tingkatan 4 kembali hangat diperkatakan apabila Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak Kementerian Pendidikan menarik buku teks tersebut dan membetulkan fakta sukatan KSSM tersebut.

Beliau berkata, terdapat unsur-unsur fakta yang dimanipulasikan dalam buku teks tersebut dengan mengagung-agungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Katanya, buku teks yang dikemas kini ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu seolah-olah usaha terancang dan sengaja dilakukan bagi menanam benih ideologi Malaysian Malaysia dalam pemikiran pelajar.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan ketika kerajaan PH, Dr Maszlee Malik menafikan dakwaan tersebut sambil berkata, keputusan meluluskan penggunaan buku teks tersebut dibuat ketika kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kementerian Pendidian turut menafikan dakwaan terdapat fakta-fakta yang diselewengkan sebaliknya berkata, semua kandungan buku tersebut telah melepasi tapisan dan diluluskan oleh pakar-pakar rujuk.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan