PENDIDIKAN tinggi negara perlu menjalani transformasi menyeluruh dan tidak boleh kekal statik dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks, kata Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof Madya Dr. Azidah Abu Ziden.
Menurut beliau, perubahan pesat dalam teknologi serta keperluan generasi masa kini menuntut agar sistem pendidikan tinggi lebih anjal, responsif dan inklusif, meninggalkan pendekatan konvensional yang tidak lagi relevan dengan kehendak semasa.
“Program akademik perlu dikaji semula agar bersesuaian dengan realiti semasa dan cabaran masa depan. Kita tidak boleh hanya mengekalkan model lama dalam sistem pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian di Seminar Kebangsaan Hala Tuju Program Akademik 2025 (SEPAKAD-25) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim hari ini.
Hadir sama Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff.
Dr. Azidah turut menjelaskan bahawa Revolusi Industri 5.0 membawa cabaran baharu dalam ekosistem pendidikan apabila teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan Internet Pelbagai Benda (IoT) mula mendominasi pelbagai sektor.
Beliau berkata, Generasi Alpha — mereka yang lahir selepas 2010 — adalah generasi pertama yang membesar sepenuhnya dalam persekitaran digital, menjadikan mereka lebih mahir teknologi dan mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza daripada generasi terdahulu.
“Mereka menuntut pembelajaran yang pantas, visual dan imersif. Oleh itu, program akademik perlu membina pemikiran kritis, nilai etika dan ketahanan diri dalam kalangan pelajar,” ujarnya lagi.
Katanya, perubahan kurikulum tidak boleh dibuat secara bersendirian oleh institusi akademik sahaja, sebaliknya perlu melibatkan pandangan pelbagai pihak termasuk pelajar, industri dan pembuat dasar.
Md Amin pula menekankan bahawa sistem pendidikan tinggi mesti mengalami transformasi radikal untuk melahirkan graduan yang bersedia menghadapi era digital dan global.
“Generasi hari ini tidak hanya mencari ilmu, tetapi juga pengalaman, kefahaman global dan kemahiran yang relevan untuk masa depan. Mereka belajar untuk bertindak dan mencipta, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan kurikulum, pedagogi dan penilaian mesti berubah secara strategik, di samping menganggap teknologi sebagai rakan dan pelajar sebagai peneraju pembelajaran.
Seminar bertemakan Transformasi Program Akademik Dalam Menghadapi Cabaran Generasi Alpha itu menghimpunkan tokoh akademik dan industri bagi membincangkan hala tuju program akademik yang lebih mampan dan berdaya saing.
Antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, tokoh akademik seperti Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Dzulkifli Abdul Razak dan Datuk Profesor Emerita Dr. Asma Ismail. – Oleh BAZLI RAZAK/Edisi 9

