PARTI Amanah Negara (Amanah) dinasihatkan agar lebih peka terhadap kesusahan rakyat dan tidak terus terjebak dalam percaturan politik sempit menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, dalam keadaan rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup, keutamaan semua pihak seharusnya tertumpu kepada usaha membantu kerajaan memulihkan ekonomi, bukannya mencetuskan polemik perebutan kerusi.
Menurut beliau, cadangan Amanah untuk bertanding di Parlimen Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan menimbulkan persoalan mengenai keutamaan sebenar parti itu dalam kerangka kerajaan perpaduan.
“Di saat rakyat sedang sesak nafas memikirkan kos sara hidup, Amanah nampaknya lebih ghairah berpolitik demi kelangsungan ego sendiri.
“Amanah dilihat semakin terperangkap dalam sindrom ‘lupa daratan’. Ketika negara memerlukan kestabilan, mencari jalan terbaik untuk membantu Perdana Menteri menerajui negara dengan sempurna, mereka memilih untuk mencetuskan geseran sesama rakan sendiri.
“Kelak nanti, rakyat bukan sahaja hilang keyakinan; malahan akan mula mempersoalkan sama ada peranan Amanah sebagai rakan gabungan benar-benar membina, atau sekadar menjadi beban yang hidup atas konflik yang dicipta sendiri,” katanya hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bahawa parti berhasrat untuk memperluas penguasaan kerusi Parlimen pada PRU-16.
Selain mensasarkan kerusi Putrajaya, Amanah dilapor turut ‘mengintai’ dua lagi kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan iaitu Labuan dan Titiwangsa.
Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh menegaskan, kerusi Parlimen bukanlah ‘habuan politik’ yang boleh dituntut sesuka hati, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Beliau berkata, langkah mencabar kerusi yang kini diwakili oleh Barisan Nasional (BN) berisiko menimbulkan ketegangan dalam kalangan rakan gabungan, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kestabilan kerajaan.
“Hakikatnya, masih banyak kawasan lain yang boleh ditandingi tanpa mengganggu mandat sedia ada. Jangan jadikan Titiwangsa sebagai medan eksperimen ‘syok sendiri’ yang akhirnya hanya merugikan rakyat.
“Rakyat hari ini mahukan pembela yang konsisten, bukan pelakon politik yang hanya muncul apabila ternampak peluang dan bahang pilihan raya mula terasa,” bidas beliau.
Dalam pada itu, Razlan turut menyifatkan alasan kononnya pembahagian kerusi perlu dibuat kerana terdapat parti lain memiliki jumlah lebih banyak sebagai hujah tidak berasas.
“Rakyat tidak mengundi untuk melihat politik dijadikan medan tawar-menawar seolah-olah membahagikan “harta rampasan perang”.
“Rakyat mengundi untuk melihat kita bekerja, melaksanakan tanggungjawab dengan berintegriti dengan penuh amanah.
“Tetapi Amanah ini dilihat lebih cenderung menjaga tembolok sendiri daripada memahami denyut nadi rakyat yang sedang bergelut dengan tekanan hidup,” katanya.
Tambah beliau, rakyat di kawasan seperti Putrajaya dan Labuan kini mahukan wakil rakyat yang benar-benar turun padang dan memahami masalah setempat, bukannya sekadar tampil dengan retorik politik menjelang pilihan raya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Amanah supaya bermuhasabah dan kembali kepada tujuan asal perjuangan politik, iaitu berkhidmat kepada rakyat.
“Amanah perlu berhenti bersikap seperti ‘anak manja’ dalam politik yang sentiasa menuntut hak tanpa membuktikan jasa.
“Jangan ingat politik ini pentas uji nasib atau sarkas untuk mencari perhatian. Kalau niat masuk gelanggang sekadar mahu ‘mencari gaduh’ dengan rakan sekutu, kita atur cara lain,” tegasnya.
Untuk rekod, kerusi Parlimen Titiwangsa kini disandang oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani manakala bagi Putrjaya dan Labuan pula sebelum ini ditandingi oleh BN. — Edisi 9

