30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

‘Sugar baby’: Data penglibatan pelajar IPT meragukan

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memandang serius isu penglibatan pelajar universiti sebagai sugar baby namun data yang dikeluarkan oleh media meragukan.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima dari pihak universiti yang berkaitan, terdapat keraguan terhadap data yang disiarkan oleh media.

Antaranya, jelas beliau, jumlah pelajar Sunway Universiti pada masa kini berjumlah 7,000 orang dan adalah mustahil mereka yang terlibat sebagai sugar baby sehingga 45 peratus daripada jumlah tersebut.

“Oleh itu, laporan yang disiarkan oleh media bahawa seramai 3,105 pelajar Sunway University sebagai sugar baby adalah tidak munasabah.

“Pada 10 Februari, UiTM juga telah membuat laporan polis bagi menafikan laporan oleh pihak media,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beberapa hari lalu, media melaporkan statistik sugar baby yang mendaftar dengan satu aplikasi temu janji, Sugarbook yang menunjukkan terdapat lebih 12,000 ahlinya terdiri daripada pelajar universiti.

10 universiti tertinggi mencatatkan jumlah sugar baby ialah Sunway University, INTI International University, Taylor’s University, TAR University College, Universiti Malaya.

Turut tersenarai ialah Monash University, Limkokwing University, University of Nottingham, Multimedia University dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Jumlah itu dilaporkan meningkat berkali ganda sejak Covid-19 dan para pelajar universiti tidak dibenarkan kembali ke kampus ekoran penularan wabak tersebut.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggesa semua pihak termasuk KPT cakna mengenai isu tersebut.

Katanya, fenomena itu sangat membimbangkan kerana ia bukan sahaja memperlihatkan keruntuhan moral, malah bertentang dengan hukum syarak bagi yang beragama Islam.

Husaini berkata, walaupun begitu KPT bersama pihak universiti akan menangai isu tersebut dengan lebih berkesan.

Katanya, universiti akan menjalankan semakan dalaman secara terperinci bagi memastikan apa yang dilaporkan oleh pihak media dapat ditangani sebaik mungkin.

“Pihak KPT juga akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan agar satu program yang berterusan dan menyeluruh dirangka dalam memastikan sahsiah pelajar dan imej IPT terjaga,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan